Lepasan IPT sasaran utama sindiket pekerjaan luar negara

Kamal mengibarkan bendera sebagai simbolik perasmian konvoi Jerayawara Pencegahan Eksploitasi Pekerja: Ke Arah Sifar Buruh Paksa 2030 di Ipoh pada Jumaat.
Kamal mengibarkan bendera sebagai simbolik perasmian konvoi Jerayawara Pencegahan Eksploitasi Pekerja: Ke Arah Sifar Buruh Paksa 2030 di Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH – Golongan muda, khususnya lepasan institut pengajian tinggi (IPT), sering menjadi sasaran utama sindiket penipuan pekerjaan luar negara kerana terpedaya dengan tawaran gaji tinggi.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kamal Pardi, berkata golongan tersebut mudah terpengaruh dengan iklan yang disiarkan kerana mereka sedang aktif mencari pekerjaan.

Kamal
Kamal

Menurutnya, kurangnya kesedaran terhadap isu berkaitan eksploitasi pekerja turut menyumbang kepada keterjebakan mereka dalam sindiket berkenaan.

“Buruh paksa ini tidak mengira peringkat umur, tetapi golongan ini memang memerlukan pekerjaan. Mereka tidak menyedari bahawa pihak yang menghubungi atau iklan yang diterima adalah palsu.

“Mereka tertarik dengan tawaran gaji tinggi serta pelbagai kemudahan yang sebenarnya tidak wujud. Akhirnya, apabila terlibat, ada yang dibawa ke luar negara dan menjadi mangsa,” katanya dalam sidang media sempena majlis pelepasan konvoi Jerayawara Pencegahan Eksploitasi Pekerja: Ke Arah Sifar Buruh Paksa 2030, di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, katanya, golongan muda digalakkan untuk mendaftar di MyFutureJobs melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau mendapatkan pekerjaan melalui agensi berlesen.

“Program ini mencerminkan komitmen kami dalam menyampaikan mesej pencegahan eksploitasi pekerja dengan sokongan Pejabat Strategik Nasional - Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, Jabatan Imigresen Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Penerangan dan Polis Diraja Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Ia bertujuan memberi maklumat tepat berkaitan hak pekerja, tanggungjawab majikan serta mekanisme pelaporan yang sah dalam usaha mencapai sasaran nasional Sifar Buruh Paksa menjelang tahun 2030,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!