Skim beras gagal, bekas PM Thailand diarah bayar ganti rugi RM1.3 bilion

Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra
Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra
A
A
A

BANGKOK - Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra diarahkan untuk membayar ganti rugi berjumlah 10 bilion baht (RM1.3 bilion) berhubung kegagalan skim jual beri beras yang dilaksanakan pentadbiran beliau lebih sedekad lalu.

Keputusan pada Khamis merupakan rayuan dikemukakan Yingluck terhadap perintah sebelum ini yang mengarahkannya membayar ganti rugi berjumlah 35 bilion baht (RM4.5 bilion) kepada Kementerian Kewangan.

“Tertuduh menjalankan tugas dengan kecuaian teruk hingga menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian besar,” menurut kenyataan Mahkamah Pentadbiran Agung pada Khamis.

Beberapa pemerhati melihat Yingluck masih 'tidak kebal' meskipun Parti Pheu Thai kembali memegang kuasa sejak hampir dua tahun lalu dan anak saudaranya, Paetongtarn kini bergelar Perdana Menteri.

Sementara itu, Yingluck meluahkan rasa kecewa beliau di media sosial dan menyifatkan jumlah ganti rugi tersebut sebagai 'agak melampau'.

“Walaupun saya membayarnya sepanjang hidup saya, ia tidak akan selesai. Saya akan terus berjuang dan menuntut keadilan,” ujarnya.

Yingluck juga mendakwa beliau menjadi mangsa ketidakadilan politik.

“Saya dipertanggungjawabkan atas hutang yang saya tidak buat. Saya hanya memegang peranan sebagai ketua cabang eksekutif dan terpaksa menanggung liabiliti disebabkan oleh pegawai operasi sedangkan saya sama sekali tidak terlibat langsung.

Artikel Berkaitan:

“Selama 11 tahun saya berulang kali berdepan 'rampasan kuasa', kes rekaan, aset dirampas dan dipaksa bayar hutang yang tiada kaitan dengan saya.

"Jika Perdana Menteri yang dipilih melalui proses demokrasi tidak dapat keadilan, maka tiada jaminan kesaksamaan kepada rakyat yang memegang kedaulatan,” menurutnya.

Yingluck dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2011 selepas memenangi Pilihan Raya Umum dan meletak jawatan, beberapa hari sebelum kerajaan pimpinannya digulingkan kudeta pada 2014. - Agensi

Info

>Program itu merupakan dasar utama parti populis pimpinannya, Parti Pheu Thai yang menelan kos berbilion dolar dan mengakibatkan jutaan tan besar tidak terjual. Thailand merupakan pengeksport beras kedua terbesar di dunia.

>Yingluck, 57, yang hidup dalam buangan selepas mengelak hukuman penjara selama lima tahun pada 2017 atas dakwaan kecuaian terjebak skandal rasuah beras tersebut yang didakwa membayar petani sehingga 50 peratus melebihi harga pasaran hingga mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!