Dua pengawal keselamatan ditahan halang tugas penjawat awam

SUNGAI PETANI - Dua pengawal keselamatan ditahan kerana disyaki menghalang tugas penjawat awam semasa operasi penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 di sebuah pasar raya di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, salah seorang dari dua lelaki berusia 42 dan 52 tahun itu dikatakan sedang merokok ketika operasi dijalankan.
Menurutnya, pada jam lebih kurang 5.20 petang semasa pengadu dan pasukan menjalankan operasi penguatkuasaan di tempat letak kereta pasar raya tersebut, telah mendapati seorang pengawal keselamatan menghisap rokok di premis tersebut.
"Kemudian pengadu telah memperkenalkan diri sebagai penguatkuasa kesihatan bersama lima orang saksi dan telah meminta puntung rokok serta butir pengenalan diri daripada lelaki tersebut untuk tujuan mengeluarkan notis bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
"Lelaki itu telah memberi kad pengenalan kepada pengadu setelah menjelaskan kesalahan yang dibuat, namun dia meninggikan suara dan berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dan lelaki tersebut sehingga rakannya yang juga pengawal keselamatan menolak badan pengadu dan turut meninggikan suara,"katanya.
Hanyan berkata, terdapat satu video yang dirakam menunjukkan perbuatan lelaki terbabit terhadap pembantu kesihatan awam itu.
Dalam kejadian tersebut, pengadu telah ditolak oleh salah seorang suspek ketika sedang melakukan tugas manakala seorang lagi suspek telah mengoyakkan notis yang dikeluarkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!