Dua maut, seorang parah motosikal bertembung di Sekinchan

Keadaan lokasi kejadian susulan kemalangan membabitkan dua motosikal di Sekinchan
Keadaan lokasi kejadian susulan kemalangan membabitkan dua motosikal di Sekinchan
A
A
A

SABAK BERNAM - Dua penunggang motosikal maut manakala seorang wanita warga asing parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Tali Air 5, Sekinchan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.35 malam membabitkan motosikal ditunggang seorang lelaki tempatan dan motosikal yang ditunggang warga asing.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dari arah Pekan Sekinchan tiba di lokasi dan bertembung dengan sebuah lagi motosikal.

“Kedua-dua penunggang motosikal itu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dan seorang lelaki warga asing lingkungan usia 20-an, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, seorang pembonceng wanita warga asing berusia 35 tahun pula mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tanjung Karang untuk rawatan lanjut.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Sehubungan itu, orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Siti Atikah Md Ali di talian 013-9322012.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!