Simbah asid: Polis ambil sampel bahan kimia di kilang getah

KOTA BHARU - Polis mengambil sampel bahan kimia dari sebuah kilang getah di Kuala Krai yang merupakan tempat kerja dua suspek kes simbah cecair dipercayai asid terhadap pengusaha spa di Bachok, 17 Mei lepas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sampel berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengetahui sama ada ia sepadan dengan bahan kimia yang digunakan dalam serangan berkenaan.
"Perkara ini mungkin mengambil masa, namun ia perlu dilakukan bagi tujuan siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali dua suspek yang ditahan itu.
Beliau berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek ketiga yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu dan mempunyai hubungan rapat dengan dua suspek, masing-masing berusia 38 dan 45 tahun.
Pada 17 Mei lepas, seorang peniaga wanita disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Bachok.
Mangsa yang melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki kini dilaporkan stabil setelah dimasukkan ke Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!