Trump cadang tarif 50 peratus ke atas import EU bermula 1 Jun

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan agar eksport dari Kesatuan Eropah (EU) ke AS dikenakan tarif sebanyak 50 peratus, menurut hantaran beliau di platform Truth Social, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Trump mengkritik EU dengan menyatakan bahawa blok itu “dibentuk dengan tujuan utama untuk mengambil kesempatan terhadap Amerika Syarikat dalam perdagangan dan sangat sukar untuk berunding.”
Beliau turut menyenaraikan pelbagai rungutan termasuk “halangan perdagangan yang berat sebelah, cukai VAT, penalti korporat yang tidak munasabah, halangan perdagangan bukan monetari, manipulasi kewangan, tuntutan undang-undang yang tidak adil terhadap syarikat Amerika dan banyak lagi.”
Presiden AS itu berkata, rundingan perdagangan dengan Brussels “tidak menunjukkan sebarang kemajuan”, dan oleh itu, beliau mahukan tarif langsung sebanyak 50 peratus dikenakan ke atas semua import dari EU bermula 1 Jun.
Trump, seperti yang dilakukannya dalam hantaran terdahulu mengenai dasar perdagangan kontroversinya, turut mengingatkan bahawa tiada tarif akan dikenakan sekiranya produk itu dihasilkan di Amerika Syarikat. - Bernama-dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!