MKC 2025 catat kehadiran luar biasa lebih 32,000 pengunjung

ARAU - Malam Kilauan Cahaya (MKC) 2025 mencipta sejarah baharu apabila merekodkan kehadiran luar biasa lebih 32,000 pengunjung sepanjang dua malam penganjurannya di Istana Arau, di sini.
Acara yang sarat dengan elemen kebudayaan dan kemasyarakatan itu menyaksikan malam kedua sebagai detik paling meriah apabila seramai lebih 25,000 orang membanjiri perkarangan istana pada malam Sabtu untuk menyaksikan pelbagai persembahan dan aktiviti menarik.
Menurut Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir, sambutan menggalakkan itu dapat dirasai sebaik sahaja pintu pagar utama dibuka pada jam 8.45 malam.
"Seawal pembukaan, ribuan pengunjung sudah mula memenuhi perkarangan istana, meskipun suasana masih gelap sebelum kiraan detik dilakukan pada jam 9.00 malam bagi menyalakan lampu," katanya.
MKC 2025 diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara institusi diraja, universiti, dan masyarakat setempat.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, acara itu telah menjadi platform tahunan yang dinanti-nantikan oleh warga Perlis dan pelancong dari luar negeri.
Walaupun program itu terpaksa dihentikan seketika pada 2020 ekoran pandemik Covid-19, ia dilihat sebagai acara yang dinanti-nantikan warga Perlis apabila pekarangan Istana Arau dibanjiri pengunjung saat pintu pagar utama dibuka pada malam itu.
Jelas Muhamad Azuan, selain pertunjukan cahaya yang memukau, MKC 2025 turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, cabutan bertuah serta penyampaian pesanan khidmat masyarakat daripada pasukan polis dan tentera darat.
Menurutnya, kemeriahan acara bertambah apabila rata-rata pengunjung tidak berganjak sehingga acara ditutup dengan tembakan bunga api tepat jam 12.00 tengah malam.
Untuk rekod, MKC 2025 telah memecahkan rekod kehadiran tertinggi dalam sejarah penganjurannya, mengatasi MKC 2018 yang mencatat 19,000 pengunjung dalam satu malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!