Aguero bangga bawa nama Malaysia lawan Manchester United

PENYERANG naturalisasi kebangsaan, Sergio Aguero bangga dapat membawa nama Malaysia mewakili pasukan ASEAN All-Stars menentang Manchester United dalam aksi persahabatan pada 28 Mei ini.
Bagi pemain Sri Pahang itu, peluang tersebut bukan sahaja dilihatnya sebagai perlawanan berprofil tinggi tetapi merupakan pencapaian peribadi dalam kerjaya dan detik membanggakan mewakili negara.
"Ia satu penghormatan yang luar biasa untuk dipilih dalam perlawanan bersejarah ini. Beraksi menentang salah satu kelab terbesar dunia bersama pemain terbaik dari rantau ini adalah impian yang menjadi kenyataan.
"Apa yang menjadikannya lebih istimewa adalah peluang untuk mewakili Malaysia di pentas ini.
"Tiada yang lebih membanggakan daripada membawa nama Malaysia di hadapan ribuan penyokong sendiri," katanya.
Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu dianggap sebagai acara sukan terbesar Malaysia bagi tahun 2025, menghimpunkan pemain terbaik dari seluruh ASEAN untuk berdepan salah satu kelab bola sepak paling ikonik di dunia.
Tiket untuk perlawanan tersebut kini laris dijual, dengan beberapa kategori telah habis dijual.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!