Lelaki digigit haiwan berbisa meninggal dunia akibat kegagalan jantung

Kematian lelaki yang terkena gigitan haiwan berbisa di rumahnya di Kampung Payung, di sini dikenal pasti berpunca daripada kegagalan jantung akibat tiga saluran darah tersumbat. FOTO: Ihsan keluarga
Kematian lelaki yang terkena gigitan haiwan berbisa di rumahnya di Kampung Payung, di sini dikenal pasti berpunca daripada kegagalan jantung akibat tiga saluran darah tersumbat. FOTO: Ihsan keluarga
A
A
A

SETIU – Kematian lelaki yang terkena gigitan haiwan berbisa di rumahnya di Kampung Payung, di sini dikenal pasti berpunca daripada kegagalan jantung akibat tiga saluran darah tersumbat.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris, berkata, keputusan itu diperoleh melalui hasil bedah siasat dijalankan pihak hospital terhadap mangsa, Abdul Kadir Setapa, 57.

"Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kegagalan jantung.

"Terdapat juga kesan luka pada kaki kanan mangsa, namun puncanya masih belum dapat dipastikan sama ada akibat gigitan haiwan berbisa atau sebab lain," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Sementara itu, anaknya, Nurul Hartini Abdul Kadir, 29, berkata, mangsa mungkin digigit haiwan berbisa menyebabkan kesihatannya bertambah buruk.

"Memang ada kesan satu gigitan kecil pada kaki kanan arwah, tapi tak pastikan haiwan apa. Lagipun arwah ayah memang ada rekod sakit jantung, asma dan masalah saraf.

"Doktor maklumkan mungkin gabungan faktor itu menyebabkan keadaan arwah menjadi lebih kritikal.

"Kalau nak pastikan haiwan apa gigit kami, perlu jalani ujian makmal yang mengambil sedikit masa, jadi kami putuskan untuk tidak jalani ujian itu untuk menyegerakan urusan pengebumian,” kata anak ketiga dari empat beradik itu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ab Kadir yang bekerja sebagai pekebun dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terkena gigitan haiwan ketika berada di bilik mandi rumahnya, kira-kira jam 4 petang pada Sabtu.

Anak saudara mangsa, Muhamad Rafizal Razali, 31, berkata bapa saudaranya sempat menghubunginya untuk meminta bantuan selepas memaklumkan kakinya digigit haiwan.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke hospital bapa saudaranya itu sudah tidak sedarkan diri.

Jenazah Abdul Kadir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Payung Baru, di sini sekitar jam 10 pagi pada Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!