Ketua Kampung maut ditikam gara-gara kerusi biru

JAKARTA - Seorang ketua kampung maut selepas ditikam oleh penduduk kampungnya sendiri dalam satu kejadian tragis yang berlaku di hadapan Pejabat Kampung Warupele 1, Daerah Inerie, di Ngada, Nusa Tenggara Timur pada Khamis.
Mangsa, Bonifasius Ghae, yang juga Ketua Kampung Warupele 1, disahkan meninggal dunia selepas ditikam suspek dikenali sebagai NR, 58, akibat perselisihan faham berhubung penggunaan kerusi plastik milik pejabat kampung.
Menurut jurucakap Polis Daerah Ngada, Inspektor Penolong Daerah (IPDA) Benediktus R Pissort, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan dan disaksikan beberapa pegawai kampung yang berada di lokasi.
Siasatan awal mendapati suspek hadir ke pejabat kampung sekitar jam 7.30 pagi untuk bertanyakan isu pembayaran upah kerja berkaitan projek penggalian saluran di kawasan perumahan RT 05.
Bagaimanapun, selepas menerima penjelasan daripada bendahari kampung mengenai kelewatan pembayaran, suspek dilaporkan turun ke tingkat bawah dan mengambil sembilan kerusi plastik milik pejabat kampung untuk dibawa ke padang bola sepak berhampiran.
Tidak lama kemudian, mangsa ke padang berkenaan dan mengarahkan agar kerusi yang diikat pada tiang gol itu diambil semula. Tindakan tersebut telah mengundang kemarahan suspek yang muncul secara tiba-tiba, lalu tercetus pertengkaran antara mereka.
“Saksi dari tingkat dua ternampak suspek memegang sebilah pisau lalu berlari ke bawah untuk meleraikan pergaduhan. Namun, sebelum sempat berbuat demikian, mangsa sempat memeluk suspek dari belakang,” kata Benediktus.
Dalam pergelutan itu, suspek dipercayai menghunus pisau ke arah belakang mangsa sebanyak dua kali hingga mereka terjatuh. Suspek turut menikam pinggang mangsa sekali lagi sebelum melarikan diri.
Mangsa yang parah dihantar ke Klinik Desa Warupele 1 sebelum dirujuk ke Hospital RSUD Bajawa, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahu kanan dan bahagian pinggang.
Mayat mangsa kini berada di unit forensik manakala suspek bersama pisau yang digunakan telah ditahan di Balai Polis Aimere untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, isteri mangsa, Katarina Lusi, menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan menjatuhkan hukuman sewajarnya terhadap suspek.
“Saya mahu keadilan. Suami saya tidak layak diperlakukan sebegini. Pelaku mesti dihukum setimpal,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital RSUD Bajawa. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!