[VIDEO] Suami isteri berniaga dalam perahu, jual makanan buat kaki pancing
TELUK INTAN - Keunikan berniaga makanan dalam perahu menyebabkan kehadiran sepasang suami isteri dari Kampung Batak Rabit ini sudah tidak asing lagi dalam kalangan kaki pancing di daerah Hilir Perak.
Pasangan dikenali sebagai 'Runner' Sungai Perak itu aktif menjual pelbagai jenis makanan dan minuman buat pemancing sungai di kawasan Batu 8 hingga ke pekan Teluk Intan sejak dua tahun lalu.
Menempuh perjalanan sejauh 35 kilometer itu, Zulkefli Md Noor, 57, yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan bertindak sebagai jurumudi dibantu isterinya, Azian Jamal, 50, sebagai pemandu arah.
Menurut Azian, perniagaannya itu diusahakan selepas mata kiri suaminya mengalami masalah saraf hinggakan tidak lagi boleh meneruskan kerja sebagai nelayan.

"Idea ini tercetus daripada gurauan pemancing yang minta berniaga di sungai berbanding di jeti. Apabila difikirkan kasihan juga kepada pemancing yang terpaksa naik ke darat bagi mendapatkan makanan.
"Dari situ bermulalah kami menjadi 'runner' sungai menjual nasi lemak, nasi berlauk, mihun serta mi goreng selain kuih karipap dan pelbagai jenis minuman dengan harga berpatutan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jeti Amer Taman Karentina di sini pada Ahad.
Azian berkata, aktiviti jualan yang dilakukan pada hujung minggu dan cuti umum itu menjadi sumber pendapatan utama keluarga selain mengambil tempah membuat bubu.
Jelasnya, pendapatan diperolehi digunakan juga bagi menampung kos perubatan berikutan suaminya itu masih memerlukan rawatan susulan mata di Jabatan Oftalmologi, Hospital Shah Alam, Selangor.
Sementara itu, Zulkefli mengakui berniaga di sungai berhadapan dengan pelbagai rintangan termasuk perubahan cuaca dan keadaan semasa arus sungai yang memerlukan pengendalian yang baik.

"Saya membesar sebagai seorang nelayan jadi tahu sedikit sebanyak keadaan sungai. Berniaga ini tidaklah selalu tetapi melihat keadaan air, sekiranya surut, ramailah pelanggan berbanding air pasang.
"Sepanjang berniaga pernahlah enjin ini rosak tersangkut keladi bunting, perahu hampir karam malah bocor akibat terkena besi atau kayu. Bimbang keselamatan, kami menyediakan jaket keselamatan," katanya.
Tambah bapa kepada tiga anak itu, dia mengimpikan untuk memiliki sebuah rumah bot untuk dijadikan kedai makan terapung.
"Berniaga dalam perahu kecil ini agak berisiko. Sekiranya ada rezeki kami cuba mengumpul modal sehingga RM30,000 bagi memiliki rumah bot yang kukuh dan ia memerlukan sokongan pelbagai pihak.
"Sungai Perak menjadi tumpuan kaki pancing dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak jadi, dengan adanya rumah bot saya percaya ia boleh jadikan satu tarikan baharu di daerah ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!