Musim sotong 'jinak', kaki pancing raih lebih 100kg sotong satu trip

Sebanyak 165kg sotong berjaya dibawa pulang hasil aktiviti mencandat di sekitar perairan Terengganu.
Sebanyak 165kg sotong berjaya dibawa pulang hasil aktiviti mencandat di sekitar perairan Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Musim sotong ‘jinak’ yang sedang rancak bermula April lalu menjadi lubuk rezeki buat kaki pancing apabila mampu meraih hasil tangkapan lebih 100 kilogram (kg) melalui aktiviti mencandat.

Fenomena saban tahun yang dijangka berakhir sekitar awal Ogos depan menarik penyertaan pemancing dari seluruh negara yang tidak mahu melepaskan peluang mencandat sotong ketika spesies itu aktif bertelur dan bergerak secara berkumpulan.

Penyedia perkhidmatan trip candat sotong, Wan Mohd Yusuff Wan Ibrahim, 39, berkata, walaupun musim tahun ini bermula agak lewat iaitu pada hujung April, sambutan terhadap aktiviti itu memberangsangkan sama seperti tahun lalu.

Menurutnya, tempahan bot candat yang diusahakannya juga sudah penuh bagi bulan Mei dan Jun, malah ada yang ditempah lebih awal sejak beberapa bulan lalu.

Wan Mohd Yusuff menunjukkan hasil tangkapan daripada aktiviti mencandat sotong di perairan Terengganu.
Wan Mohd Yusuff menunjukkan hasil tangkapan daripada aktiviti mencandat sotong di perairan Terengganu.

"Sekarang ni musim sotong bertelur dan mengawan. Ia akan bergerak secara berkumpulan dan merupakan masa paling sesuai untuk mencandat.

"Setakat minggu lepas, hasil tangkapan mencecah 165kg bagi satu trip. Biasanya dalam musim puncak ini, 50 hingga 100kg dapat dikumpul dalam satu malam,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Wan Mohd Yusuff berkata, lokasi candat berubah pada setiap tahun, namun tumpuan masih dalam radius satu hingga dua kilometer dari lokasi biasa sekitar perairan Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini saya ada bawa kaki pancing dari Singapura, Johor, Pulau Pinang, Perak, Lembah Klang dan negeri lain untuk sertai aktiviti mencandat ini,” katanya yang telah empat tahun mengusahakan bot candat sotong.

Sementara itu, pengusaha bot dari Besut, Muhammad Hafizi Kamarudin, 37, berkata, sebanyak 270kg sotong pernah dibawa pulang pada tiga tahun lalu.

"Baru-baru ni, peserta berjaya bawa balik hasil tangkapan seberat 80kg dan ada juga yang dapat 90kg. Bila dapat hasil banyak, memang seronok.

"Biasanya kami tumpu kawasan belakang Pulau Perhentian kerana banyak sotong ‘main’ sekitar situ, tetapi bergantung juga kepada keadaan dan faktor," katanya

Bagaimanapun katanya, perkhidmatan yang ditawarkan tidak menjanjikan 100 peratus pulangan hasil kerana ia bergantung kepada keadaan dan rezeki kaki pancing itu sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!