Dr Zulkifli tawar diri mengajar percuma di SMAASZA sempena 100 tahun

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyatakan hasrat untuk mengajar secara percuma kepada pelajar aliran Thanawi di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) sempena sambutan 100 tahun sekolah itu pada 20 Mei ini.

Menurutnya, permohonan mengajar selama seminggu itu telah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu sebagai tanda penghargaan terhadap jasa para guru yang telah mendidiknya suatu ketika dahulu.

"Saya tahu, sumbangan seminggu itu terlalu kecil berbanding jasa para guru, namun inilah cara saya membalas budi institusi yang telah banyak membentuk saya,” katanya dalam kenyataan di laman sosialnya pada Isnin.

Sementara itu, dalam perkongsian menerusi aplikasi Al Inarah, beliau turut berkongsi sejarah penubuhan SMAASZA pada 1925 yang ketika itu dikenali sebagai Madrasah al-Sultaniyyah.

"Ia bermula sebagai sekolah pondok sebelum dinaik taraf menjadi institusi pendidikan agama yang lebih tersusun atas titah Sultan Terengganu.

"Pada tahun 1932, sekolah ini berpindah ke tapak baharu di Jalan Pusara, Kuala Terengganu hasil sumbangan tanah daripada Almarhum Tuan Guru Haji Abbas Abdul Wahab dan Sultan Ismail Nasiruddin Shah," tulisnya.

Katanya, sekolah itu turut melalui zaman mencabar ketika pendudukan Jepun apabila segala rekod pelajar dibakar dan operasi sekolah terpaksa dihentikan sementara, namun tidak melunturkan semangat pendidik dan pelajar.

"Menjelang tahun 1958, SMAASZA diiktiraf sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) pertama di Terengganu dan terus berkembang sebagai antara institusi agama paling berpengaruh di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Antara tokoh ternama yang pernah menuntut di SMAASZA termasuk mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Ibrahim Fikri, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Tan Sri Dr Mohamed Yusof Mohd Noor serta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang," kongsinya.

Dalam pada itu Zulkifli turut mencadangkan beberapa inisiatif sempena ulang tahun ke-100 sekolah itu, antaranya penubuhan 'speaker’s corner' bagi melatih pelajar berpidato dan menyampaikan idea, penganjuran dialog perdana membabitkan alumni berjaya, penubuhan inkubator hadis peringkat menengah.

Selain itu, katanya, usaha memperkukuh sistem tarbiah dan kepimpinan pelajar, penguasaan Bahasa Arab melalui kerjasama dengan institusi Timur Tengah dan program pembangunan potensi dan pemetaan kerjaya awal juga boleh diketengahkan.

"Sesungguhnya, kejayaan SMAASZA dalam melahirkan generasi ulul albab yang berilmu, berakhlak dan berbakti wajar terus disuburkan demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!