Candat Sotong tarik pelayar antarabangsa ke Pulau Kapas

MARANG - Aktiviti mencandat sotong yang sinonim dengan masyarakat Terengganu kini menjadi tarikan pelancongan bertaraf dunia apabila berjaya menarik penyertaan pelayar dari sembilan negara dalam program Sail Malaysia: Passage to the East 2025 Yacht Rally.
Program anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) yang berlangsung di perairan Pulau Kapas baru-baru ini disertai pelayar dari Amerika Syarikat, Kuwait, Thailand, Australia, Jerman, United Kingdom, Perancis, Afrika Selatan dan Filipina.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, aktiviti mencandat sotong memberi peluang kepada pelancong antarabangsa merasai sendiri pengalaman mencandat yang menjadi identiti Terengganu.
"Kita jadikan candat sotong sebagai ikon pelancongan maritim yang mampu meletakkan Terengganu di peta dunia.
"Selain memperkenalkan warisan budaya, program ini juga mengukuhkan potensi negeri ini sebagai destinasi pelancongan laut yang eksklusif dan berdaya saing," katanya.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilmi Hajijan; Pengasas Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha; dan Ketua Penolong Pengarah Pembangunan, Raja Faisal Raja Harun.
Dalam perkembangan sama, Razali berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasakan program pelancongan berasaskan komuniti dan laut bagi memperluas capaian pelancong antarabangsa ke Terengganu.
Sementara itu, seorang peserta, Prof Khaled Karrai dari Universiti of Munich berkata, pengalaman mencandat sotong merupakan sesuatu yang unik dan tidak pernah dirasainya sebelum ini.
"Saya sangat teruja. Sambutan rakyat Terengganu sangat mesra dan aktiviti seperti ini menjadikan percutian saya lebih bermakna.
"Saya akan menceritakan pengalaman baharu ini kepada rakan-rakan di negara saya," katanya yang belayar dengan kapal layar SV NISMA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!