'Reda hidup menderita, asalkan ibu dan adik-beradik terjaga'

RANTAU PANJANG – Tidak mudah mengurus tiga ahli keluarga yang diserang angin ahmar, namun seorang lelaki di Kampung Cabang Tiga Bagus di sini sanggup berkorban demi ibu, abang dan adik bongsunya yang terlantar akibat penyakit berkenaan.
Sukiman Ismail, 51, tetap sabar dan tabah menjaga ibunya, Zainun Abdullah, 75, abang sulung, Azman Ismail, 56, dan adik bongsunya, I.D. Fattman Ismail, 42.
Lebih menyukarkan keadaan apabila Sukiman turut menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, masalah kolesterol dan terbaru dikesan mengalami kegagalan buah pinggang tahap dua.
Menurut Sukiman, walaupun diuji dengan masalah kesihatan, beliau tetap menggagahkan diri untuk menjaga tiga insan tersayang itu.
“Rutin harian saya bermula seawal pagi dengan menukar lampin pakai buang dan memandikan mereka supaya berada dalam keadaan selesa,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga itu pada Selasa.
Katanya lagi, adik bongsu dan ibunya menggunakan tiub khas untuk minum susu formula melalui hidung, dan pada masa sama ibunya perlu bergantung kepada mesin oksigen.

“Sementara itu, I.D. Fattman terpaksa menggunakan mesin penyedut kahak dan bernafas melalui tiub yang dipasang pada bahagian leher,” katanya.
Sukiman berkata, kos bulanan untuk membeli susu yang berharga RM110 setin dan hanya bertahan seminggu serta lampin pakai buang mencecah kira-kira RM2,000 sebulan.
“Alhamdulillah, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima oleh ketiga-tiga mereka berjumlah lebih RM1,000 sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung,” katanya.
Berkongsi kisahnya, Sukiman memberitahu bahawa beliau telah menjaga abangnya, Azman yang diserang angin ahmar lebih 15 tahun lalu, dibantu oleh ibunya dan I.D. Fattman.
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila ibunya turut diserang angin ahmar pada 2018 selepas terjatuh di bilik air di rumah adiknya, Mohd Faizal Ismail, 44, di Kuala Lumpur.
“Ketika itu kami sekeluarga tinggal bersama Mohd Faizal yang mengusahakan sebuah kedai makan manakala saya bekerja sebagai pembantu restoran milik seorang rakan,” katanya.
Tambahnya, ibunya kemudian mengajak mereka pulang ke kampung kerana mengalami masalah kesihatan selepas patah tulang punggung akibat terjatuh.
Jelasnya, selepas itu I.D. Fattman turut membantu beliau menguruskan abang dan ibu di kampung, namun malangnya dia juga diserang angin ahmar setahun kemudian.
“I.D. Fattman bagaimanapun pulih, tetapi diserang strok kali kedua pada awal tahun ini yang menyebabkan dia separuh koma dan tidak dapat menguruskan diri,” katanya.
Sukiman bersyukur kerana masih ada saudara-mara berdekatan yang datang membantu menguruskan ibu, abang dan adiknya ketika mereka tidak bekerja atau terlibat dengan urusan penting.
“Mohd Faizal juga akan pulang sekerap mungkin untuk membantu menguruskan ibu dan adik-beradik kami serta membawa mereka menghadiri janji temu di hospital,” katanya.
Sukiman berharap agar keadaan ibu, abang dan adiknya bertambah baik walaupun beliau sendiri kini mengalami kaki sembap yang membataskan pergerakannya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0301 641100019731 atas nama Sukiman Ismail atau menghubungi beliau di talian 011-2773 9867.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!