PNB sasar 10,000 jam kerja sukarela

SHAH ALAM – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyasarkan pencapaian 10,000 jam kerja sukarela menerusi Hari Kesukarelawanan Signature PNB 2025 yang menghimpunkan lebih 500 sukarelawan dari pelbagai lokasi.
Ketua Pegawai Operasi PNB, Muzzaffar Othman berkata, sepanjang tahun 2024, PNB telah mencatat hampir 2,000 jam kerja sukarela yang disumbangkan oleh 370 warga kerja melalui pelbagai program.
Menurutnya, sasaran lebih tinggi bagi tahun 2025 ditetapkan bagi meneruskan momentum dan komitmen terhadap agenda kesukarelawanan.
Jelasnya, inisiatif tersebut turut melibatkan kerjasama strategik daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan disokong oleh Taman Alam Kuala Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Majlis Perbandaran Kuala Selangor serta komuniti setempat.
“Sasaran yang lebih tinggi ini mencerminkan usaha berterusan PNB untuk memberikan nilai tambah kepada komuniti melalui impak sosial yang positif, serta memupuk budaya kesukarelawanan yang lebih kukuh dalam organisasi.
“Aktiviti sukarelawan turut dijalankan serentak oleh cawangan-cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di Melaka; Seremban, Negeri Sembilan; Ipoh, Perak; Batu Pahat, Johor Bahru; Pasir Puteh dan Kota Bharu di Kelantan serta di Bintulu, Sarawak.
“Ia merangkumi aktiviti seperti penanaman pokok, gotong-royong bersama komuniti dan program kesedaran alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Program berkenaan berlangsung di Taman Alam Kuala Selangor, sebuah kawasan perlindungan alam semula jadi seluas 2,400 ekar yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti dan usaha pemuliharaan.
Mengulas lanjut, Muzzaffar berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi di bawah Rangka Kerja Kesukarelawanan PNB yang memupuk budaya penglibatan inklusif dan pemberian bermakna dalam kalangan warga kerja.

Jelas beliau, usaha tersebut selari dengan komitmen terhadap Rangka Kerja Kelestarian yang dilancarkan pada April 2022, yang menggariskan 10 keutamaan dalam aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk memacu perniagaan PNB ke arah pulangan mampan dan kompetitif.
“Bagi memenuhi aspirasi sosial, PNB turut melancarkan Rangka Kerja Pelaburan Sosial (SIF) yang menyokong bidang pendidikan, kesihatan, pembangunan komuniti dan alam sekitar, sejajar dengan matlamat untuk mengukuhkan kedudukan kewangan rakyat merentas generasi.
“Bagi mengukuhkan lagi budaya inklusif melalui aktiviti sukarelawan dalam kalangan rakan sekerja, pada Mac lalu kami telah melancarkan Rangka Kerja Kesukarelawanan PNB sebagai platform menyumbang kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Menerusi pelaburan strategik dan komitmen terhadap kelestarian, PNB bukan sahaja berjaya mencapai pulangan yang mampan, malah turut memberi impak positif kepada generasi akan datang dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!