Penstrukturan semula Petronas: Langkah strategik hadapi ketidaktentuan industri

Cadangan penstrukturan semula Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang melibatkan lebih 5,000 kakitangan kontrak bukan dibuat secara semberono. Gambar kecil: Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Nazri Hamdan
Cadangan penstrukturan semula Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang melibatkan lebih 5,000 kakitangan kontrak bukan dibuat secara semberono. Gambar kecil: Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Nazri Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan penstrukturan semula Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang melibatkan lebih 5,000 kakitangan kontrak bukan dibuat secara semberono, sebaliknya berpunca daripada tekanan pelbagai faktor yang mencabar kedudukan syarikat minyak nasional itu.

Ahli ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi menjelaskan bahawa antara faktor langkah tersebut terpaksa diambil adalah kerana unjuran harga minyak mentah global yang kekal rendah, sekali gus memberi kesan langsung terhadap pendapatan Petronas.

“Penurunan harga minyak menguncup hasil, manakala kos mencari sumber baharu meningkat kerana banyak operasi kini tertumpu kepada telaga sedia ada. Ini menjadikan operasi semakin mahal dan kurang efisien,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menarik perhatian kepada perubahan landskap kawal selia industri, khususnya di Sarawak, yang menyaksikan kawalan sumber minyak dan gas negeri kini di bawah syarikat milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

“Petros kini mengawal sumber di Sarawak dengan nilai hasil sekitar RM10 bilion hingga RM20 bilion setahun. Ini memberi impak jangka panjang terhadap pendapatan Petronas,” ujarnya.

Dr Nungsari turut menegaskan bahawa industri minyak dan gas global kini berdepan peralihan besar daripada sumber hidrokarbon kepada model perniagaan baharu yang lebih lestari.

“Peralihan ini memerlukan pelaburan, kemahiran dan sumber baharu. Dalam ketidaktentuan ini, keperluan terhadap tenaga kerja konvensional mungkin semakin berkurang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyentuh isu pergantungan kerajaan kepada dividen Petronas sebagai sumber kewangan utama negara.

“Kebergantungan kerajaan terhadap dividen Petronas tidak boleh berterusan. Dividen hanya boleh dibayar daripada keuntungan, sedangkan keuntungan itu sendiri bergantung kepada hasil dan kos – termasuk kos sumber manusia,” katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, langkah penstrukturan semula ini adalah keputusan perniagaan berdasarkan unjuran kos dan hasil jangka panjang, dan bukan semata-mata reaksi terhadap tekanan semasa.

“Petronas, sebagai syarikat perniagaan, bertindak berdasarkan pertimbangan keuntungan dan keperluan masa depan. Jika tidak, kelangsungan operasinya boleh terjejas,” tambah beliau.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis ekonomi, Nazri Hamdan berpandangan bahawa cadangan Petronas untuk menamatkan perkhidmatan kira-kira 5,000 kakitangan tidak seharusnya dikaitkan secara langsung dengan isu pengambilalihan pengedaran gas asli cecair (LNG) di Sarawak.

Sebaliknya, menurut Nazri, langkah tersebut adalah sebahagian daripada strategi penyesuaian Petronas dalam menghadapi realiti baharu industri tenaga global pada masa akan datang.

Tambah beliau, Sarawak hanya menyumbang sekitar 8 hingga 10 peratus daripada keseluruhan pengeluaran minyak dan gas Petronas, iaitu satu angka yang penting tetapi tidak cukup besar untuk menjadi penyebab utama kepada pengurangan tenaga kerja secara besar-besaran.

“Bagaimana pula dengan syarikat gergasi lain seperti Shell dan BP yang turut melaksanakan pemotongan tenaga kerja? BP telah memecat 10,000 pekerja sejak 2020, Chevron pula mengurangkan 7,000 kakitangan pada 2024, manakala Shell telah merasionalisasi hampir 9,000 pekerja sejak pandemik. Adakah Petros juga menjadi punca mereka bertindak sedemikian?” soalnya.

Nazri menegaskan, tindakan Petronas sebenarnya adalah penyesuaian kepada landskap pasaran yang berubah, selari dengan komitmen jangka panjang syarikat itu untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Petronas melalui cabang tenaganya, Gentari, telah memperuntukkan kira-kira RM20 bilion pada tahun 2024 untuk pelaburan dalam sektor tenaga bersih termasuk hidrogen hijau, teknologi penangkapan karbon (CCS) dan tenaga solar. Jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2030.

“Dalam industri yang semakin mengecil margin keuntungannya akibat kejatuhan harga minyak dunia – kini sekitar USD65 setong berbanding lebih USD100 pada 2022 – setiap ringgit yang dijimatkan daripada kos tetap, termasuk gaji tahunan melebihi RM6 bilion, boleh disalurkan semula untuk menjamin masa depan syarikat,” katanya.

Menurutnya lagi, langkah rightsizing yang diambil Petronas tidak wajar dilihat sebagai penyusutan semata-mata, sebaliknya sebagai strategi penyusunan semula agar syarikat kekal relevan dalam peralihan kepada ekonomi hijau.

“Kalau Petronas tidak bertindak sekarang, syarikat gergasi minyak dan gas ini berisiko lenyap di masa hadapan,” ujarnya.

Langkah Petronas itu, tambahnya, adalah keputusan strategik berasaskan keperluan untuk menstrukturkan semula tenaga kerja mengikut keperluan teknologi baharu, dan bukan berpunca daripada isu tempatan semata-mata.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Petronas dijangka mengurangkan 10 peratus tenaga kerjanya dalam penyusunan semula seluruh syarikat bagi mengurangkan kos susulan kejatuhan harga minyak mentah.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memaklumkan bahawa jumlah kakitangan yang terlibat dalam proses pengurangan itu dianggarkan sekitar 5,000 orang dan mereka akan dimaklumkan secara berperingkat sepanjang tahun depan.

Beliau turut menjelaskan bahawa margin keuntungan dijangka semakin mengecil susulan medan minyak yang semakin kecil dan sukar untuk memenuhi sasaran dividen kerajaan dengan harga minyak semasa.

Memetik laporan Bloomberg pada Khamis, kejatuhan harga minyak dan pengeluaran yang berkurangan daripada aset lama akan mencetus cabaran kepada kerajaan yang memperoleh sekitar 10 peratus hasil negara daripada Petronas pada tahun 2024.

Sebagai pengeluar tenaga utama negara, Petronas bukan sahaja menjadi tunjang kepada sektor tenaga, malah memainkan peranan penting dalam membiayai infrastruktur, pendidikan dan program sosial melalui dividen dan cukai yang disumbangkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!