Pemandu Bas.my perlu tingkat kemahiran pemanduan

Ab Rauf beramah mesra dengan murid-murid SJKC Bertam Ulu, pada Rabu.
Ab Rauf beramah mesra dengan murid-murid SJKC Bertam Ulu, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Pemandu bas henti-henti Bas.my atau ‘Bas Pink’ perlu meningkatkan kualiti latihan dan mutu perkhidmatan pemanduan mereka berikutan beberapa kes kemalangan yang dilaporkan membabitkan pengangkutan awam itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya kesal apabila kebanyakan kemalangan yang berlaku di negeri ini berpunca daripada kecuaian dan sikap segelintir pemandu pengangkutan awam sehingga mengakibatkan insiden meragut nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Menurutnya, pemegang konsesi bas berkenaan perlu memainkan peranan penting dengan memberikan latihan kepada pemandu bagi memantapkan kemahiran pemanduan sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini berulang.

Katanya, beliau mengambil serius perkara ini dan telah meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta polis trafik untuk memberikan pendidikan yang lebih ketat agar pemandu pengangkutan awam lebih berdisiplin.

“Kemalangan yang berlaku (baru-baru ini) jelas menunjukkan berlaku kelalaian dan ketidakcekapan pemandu.

“Biarpun difahamkan pemandu tidak mempunyai rekod buruk, namun disebabkan sedikit kealpaan, ia boleh membawa maut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Perjumpaan Bersama Pemimpin Tempatan Masyarakat Cina bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Ulu, di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin, serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pihaknya juga tidak terlibat dalam pemilihan pemandu dan hal-hal berkaitan perkhidmatan bas berkenaan memandangkan kontrak tersebut telah diberikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kepada syarikat konsesi terpilih.

Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan seorang pekerja subkontraktor maut selepas tercampak keluar apabila kenderaan dinaiki dirempuh bas henti-henti Bas.my di Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru.

Kejadian kira-kira jam 4.55 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, yang memandu kenderaan jenis Mitsubishi, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala rakannya, Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, mengalami luka di badan.

Media pada 25 Mei tahun lalu juga pernah melaporkan seorang remaja, Muhammad Harith Muhamad Zaki, 18, maut digilis selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan bas henti-henti di Jalan Pantai Kundor.

Selain itu, seorang lagi pemuda, Muhammad Aizad Khairil Anwar, 20, maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang pengangkutan awam itu di Jalan Satu, Krubong, pada 6 Jun 2024.

Malah, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer pernah memaklumkan bahawa pemandu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) Bas.my yang dikesan bermasalah termasuk yang memandu secara berbahaya akan diberhentikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!