Kedah jadikan Velodrom Azizulhasni Awang model pembangunan sukan negeri

DUNGUN - Kerajaan Kedah berhasrat menjadikan Velodrom Azizulhasni Awang di sini sebagai model rujukan dalam usaha memperkasa pembangunan sukan berbasikal di negeri itu.
Perkara itu dinyatakan Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah, Radhi Mat Din ketika lawatan bersama bersama Timbalannya, Baddrol Bakhtiar serta beberapa pegawai kanan kerajaan negeri ke lokasi itu baru-baru ini.
Radhi berkata, kunjungan tersebut bertujuan meninjau secara dekat pelaksanaan projek berimpak tinggi yang dilihat strategik dalam pembangunan infrastruktur sukan berbasikal.
"Kami mahu melihat sendiri aspek struktur, pelaksanaan dan peranan kerajaan negeri dalam memastikan kemudahan seperti ini memberi manfaat kepada pembangunan sukan tempatan.
"Ini akan jadi panduan amat berguna untuk pembangunan sukan berbasikal negeri Kedah,” katanya ketika ditemui selepas lawatan di sini.

Dalam sesi taklimat dan lawatan tapak, wakil kerajaan Kedah itu diberi penerangan mengenai reka bentuk veledrom, spesifikasi teknikal serta potensi penggunaannya untuk pembangunan atlet.
Sementara itu, Timbalan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli, menyifatkan lawatan tersebut sebagai ruang perkongsian ilmu dan pengalaman antara negeri.
"Pembangunan sukan tidak boleh bersifat bersendirian, sebaliknya perlu diperkasa melalui kerjasama merentas negeri.
"Terengganu sentiasa terbuka untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang menyifatkan kehadiran delegasi Kedah sebagai penghormatan dan membuktikan bahawa velodrom tersebut bukan sekadar projek fizikal namun simbol kesungguhan melahirkan atlet berprestasi tinggi.
Tambahnya, pertemuan itu turut membuka ruang perbincangan awal ke arah kerjasama dalam bidang kejurulatihan, program pembangunan belia serta pemanfaatan fasiliti sukan secara bersama.
Velodrom Dungun atau juga dinamakan sebagai Velodrom Azizulhasni Awang sebagai tanda penghargaan kepada wira negara berasal dari Kampung Nibong Stesen, Dungun itu yang telah menyumbang pingat buat negara dalam temasya Sukan Olimpik.
Gelanggang perlumbaan basikal yang siap pada 15 Mac 2022 itu dilengkapi kemudahan bertaraf antarabangsa dan digunakan secara rasmi oleh atlet berbasikal tempatan.
Ia bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Terengganu, malah dilihat sebagai pemangkin pembangunan sukan berbasikal tanah air, sekaligus menyokong misi melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia seperti Datuk Azizulhasni Awang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!