Wartawan perlu kekal beretika, sampaikan maklumat sahih - Fahmi

Fahmi
Fahmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengamal media atas jasa dan dedikasi yang tidak ternilai dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Menerusi hantaran di Facebook sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 pada Khamis, Fahmi berharap pengamal media meneruskan komitmen dan amalan beretika dalam menyampaikan maklumat sahih.

"Ini demi membina sebuah negara yang bermaklumat dan berintegriti,” katanya.

HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun, dengan Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan berkenaan dengan anggaran kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana akan menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

HAWANA, yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran kali pertama pada 2018, merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!