Penceramah agama ditahan di Pasir Gudang disyaki tiada tauliah

Tangkap layar tular mengenai penahanan seorang penceramah agama di Pasir Gudang.
Tangkap layar tular mengenai penahanan seorang penceramah agama di Pasir Gudang.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penceramah agama ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah kediaman di Pasir Gudang pada malam Rabu selepas disyaki memberi ceramah agama tanpa tauliah.

Pengarah JAINJ, Nasri Md Ali berkata, penahanan ke atas lelaki berusia 50 tahun itu dilakukan sekitar jam 8.30 malam oleh bahagian penguatkuasaan JAINJ dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

"Penceramah ini memberi ceramah dengan jemaah serta siaran langsung di media sosial. Rumah itu adalah kediaman individu lain yang dijadikan tempat ceramah setiap hari selepas Maghrib dan Subuh.

“Ketika ditahan, penceramah terbabit sedang menyampaikan ceramah kepada beberapa individu yang hadir di lokasi tersebut, malah turut menyiarkan sesi itu secara langsung di platform Facebook dan YouTube, namun video sudah dipadam," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Nasri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana mengajar agama tanpa tauliah.

Beliau mendedahkan bahawa kes penceramah itu pernah beberapa kali dibangkitkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis JAINJ, termasuk maklumat aduan serta keputusan Jawatankuasa Tauliah untuk tindakan lanjut.

“Mengikut rekod, dia pernah ditahan atas kesalahan sama pada 2016, dan berjaya melarikan diri dalam satu serbuan pada 2020. Ini adalah kali ketiga tindakan dibuat ke atasnya ada kesalahan tidak ada kebenaran tauliah mengajar," katanya.

Dalam pada itu, Nasri menyeru agar mana-mana individu yang ingin menyampaikan dakwah di negeri ini mematuhi peraturan sedia ada dan mendapatkan tauliah sah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tular satu rakaman video hampir tiga minit di media sosial yang dimuat naik pendakwah selebriti, Ustaz Abdullah Khairi memaparkan detik penahanan seorang penceramah di Pasir Gudang.

Video itu turut disertakan kapsyen, “Apa sebenarnya kesalahan beliau sehinga ditahan di lokap? Menyampaikan agama kini seolah-olah menggenggam bara api...”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!