Pemuda Pas sedia bantu penceramah agama ditahan di Pasir Gudang

Laporan Sinar Harian pada 29 Mei 2025
Laporan Sinar Harian pada 29 Mei 2025
A
A
A

SHAH ALAM – Pemuda Pas sedia memberi bantuan kepada seorang pendakwah bebas yang ditahan selepas menyampaikan kuliah dalam premis persendirian di Pasir Gudang, Johor pada Rabu.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya sudi berbuat sedemikian sekiranya diperlukan susulan penahanan pendakwah bebas itu oleh pihak berkuasa agama di Johor bersama polis.

"Sehingga hantaran ini ditulis, (kami) diberitahu Al-Fadhil Ustaz masih 'ditahan' di dalam bangunan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

"Tiada sesiapapun walaupun peguam dibenarkan masuk bertemu dengan beliau. Katanya sejak malam Rabu sehingga jam 2 petang Khamis, soal-siasat masih belum selesai," katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memaklumkan pihak mereka menahan seorang penceramah agama berusia 50 tahun sekitar jam 8.30 malam di sebuah kediaman di Pasir Gudang selepas disyaki memberi ceramah agama tanpa tauliah.

Pengarah JAINJ, Nasri Md Ali berkata, penceramah itu memberi ceramah dengan jemaah serta siaran langsung di media sosial di kediaman individu lain yang dijadikan tempat ceramah setiap hari selepas Maghrib dan Subuh.

Bagaimanapun, Afnan Hamimi mempersoalkan bentuk kesalahan dilakukan pendakwah tersebut hingga ditangkap, ditahan dan disoal-siasat sebegitu rupa.

"Adakah terdapat waran tangkap menunjukkan bahawa tangkapan, tahanan dan soal-siasat itu sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada?" ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Afnan Hamimi turut mempertikaikan sama ada tindakan pihak berkuasa agama negeri terhadap pendakwa bebas itu yang didakwa tidak dibenarkan bertemu dengan peguam untuk mewakilinya, tertakluk di dalam batas-batas hak dibenarkan undang-undang.

Beliau menambah, semua persoalan itu perlu segera dijawab pihak berkenaan dengan seberapa segera supaya tidak timbul syak wasangka dan kekecohan.

"Soal bersalah atau tidak, biarlah proses keadilan menghakiminya," menurutnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!