Op Mahir: 114 PATI, empat majikan ditahan

JOHOR BAHRU – Seramai 114 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam serbuan Op Mahir yang dilaksanakan serentak di lima daerah.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, penahanan itu dibuat hasil pemeriksaan terhadap 511 individu di sembilan buah kilang di Johor Bahru, Muar, Segamat, Mersing dan Batu Pahat pada Rabu.

“Warga asing yang ditahan membabitkan 44 warga Bangladesh, 28 Nepal, sembilan Pakistan, warga India, 12 Myanmar (enam lelaki, enam wanita), lapan Indonesia (enam lelaki, dua wanita), empat Vietnam (tiga lelaki, satu wanita) dan seorang wanita Kemboja.
"Turut ditahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun yang merupakan pemilik syarikat, pengurus gudang dan pengurus syarikat pembekalan pekerja asing," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelas beliau, kesemua warga asing yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Majikan warga tempatan pula ditahan mengikut kesalahan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi PATI dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 atau tinggal di dalam premis.
"Sebanyak 10 notis turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan bagi membantu siasatan," ujarnya.

Tambahnya lagi, kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru PATI yang layak supaya mengambil peluang menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) yang dibuka sehingga 30 April 2026 untuk pulang ke negara asal secara sukarela.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!