Teori konspirasi menggemparkan

ADA beberapa konspirasi yang dahsyat, penuh kontroversi sehingga menggemparkan dunia, malah memberikan impak kepada individu dan negara.
Pertama ialah pembunuhan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-35 iaitu John F. Kennedy (JFK) pada tahun 1963 di Dallas, Texas yang mencetuskan teori konspirasi lebih 60 tahun.
Beliau telah dibunuh oleh bekas penembak tepat tentera marin, Lee Harvey Oswald, namun ada yang percaya kejadian itu ada kaitan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan mafia termasuk Naib Presiden Kennedy sendiri, Lyndon Johnson.
Bagaimanapun, Arkib Negara AS pada Mac lalu, telah mengeluarkan kumpulan akhir fail berkaitan pembunuhan JFK, susulan perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump pada Januari.
Trump mengarahkan pendedahan tanpa suntingan bagi baki fail berkaitan pembunuhan JFK, abangnya bekas Peguam Negara, Robert F. Kennedy, serta pemimpin hak sivil, Martin Luther King Jr.
Ribuan dokumen itu sebelum ini ditahan atas permintaan CIA dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) atas alasan keselamatan negara.
Suruhanjaya Warren yang menyiasat pembunuhan presiden berusia 46 tahun itu menyimpulkan serangan itu dilakukan secara bersendirian oleh Oswald, namun keputusan rasmi itu gagal meredakan spekulasi mengenai kejadian tersebut.
Pendedahan fail kerajaan secara beransur-ansur juga menambahkan lagi bahan bakar kepada teori konspirasi.
Sebahagian besar rekod yang telah didedahkan mengandungi maklumat risikan mentah, termasuk laporan daripada ejen FBI yang menyiasat pelbagai petunjuk yang akhirnya menemui jalan buntu.
Banyak maklumat dalam fail itu juga sudah diketahui umum, termasuk hakikat bahawa CIA, yang obses dengan komunisme, pernah merancang pelbagai percubaan untuk membunuh pemimpin Cuba, Fidel Castro.
Kedua ialah skandal Watergate pada tahun 1972 iaitu pengintipan yang dibuat oleh Presiden AS, Richard Nixon terhadap Parti Demokrat.
Pendedahan tersebut dibuat oleh wartawan Washington Post yang menyebabkan peletakan jawatan Nixon pada 1974. Ia menjadikan Nixon sebagai satu-satunya Presiden AS yang meletak jawatan.
Ketiga ialah Operasi Gladio yang dijalankan oleh rangkaian tentera rahsia Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan CIA termasuk beberapa agensi perisikan dari negara-negara Eropah ketika era Perang Dingin.
Operasi itu bertujuan untuk menghalang kumpulan sayap kiri dan membendung pengaruh komunis, namun telah terbongkar di Itali pada 1990-an.
Keempat ialah Kematian Puteri Diana pada tahun 1997, apabila beliau terbabit dalam kemalangan kereta di Paris.
Walaupun disahkan sebagai kemalangan, namun teori konspirasi menyatakan ia dirancang oleh pihak istana kerana hubungan Diana dengan Dodi Al-Fayed. Malah, ayah Dodi, Mohamed Al-Fayed, mendakwa ada penglibatan perisik British (MI6).
Kelima ialah kes 1Malaysia Development Berhad yang mula dibongkar pada 2015 dan kes tersebut masih dibicarakan sehingga kini.
Ia merupakan skandal kewangan terbesar di Malaysia, melibatkan dana kerajaan diselewengkan berbilion ringgit.
Kes ini telah mempengaruhi landskap politik Malaysia dan membawa kejatuhan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
Sejak minggu lalu, suhu politik negara meningkat susulan pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.
Rafizi melanyak parti sendiri dan akhirnya beliau kalah, serta melepaskan jawatan dalam Kabinet.
Jadi ada terdengar beberapa teori konspirasi yang bertebaran di sana sini mengenai apa berlaku kepada pemimpin berusia 47 tahun itu.
Bagaimanapun, kita ucapkan terima kasih atas jasa dan pengorbanan beliau kepada negara dan sekarang kita teruja hendak mengetahui individu dapat gading bertuah terpilih jadi menteri baharu.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!