Remaja lelaki lemas dibawa arus sungai

Remaja dilaporkan lemas ketika mandi bersama ahli keluarganya di Sungai Lanas, Kampung Pinipi Lanas, Sook.
Remaja dilaporkan lemas ketika mandi bersama ahli keluarganya di Sungai Lanas, Kampung Pinipi Lanas, Sook.
A
A
A

SOOK – Seorang remaja lelaki lemas ketika mandi bersama ahli keluarganya di Sungai Lanas, Kampung Pinipi Lanas, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, remaja berusia 14 tahun terbabit dilaporkan dibawa arus sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 4.40 petang.

Menurutnya, seramai enam anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 45 kilometer dari BBP Sook.

“Menurut pengadu, mangsa mandi bersama ahli keluarganya di sungai tersebut dan ketika kejadian dia tiba-tiba dibawa arus serta tidak sempat menyelamatkan diri.

“Penduduk kampung bertindak mencari mangsa dengan menyelam di dalam sungai dan berjaya menemuinya pada jam 5.15 petang sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Tambahnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 6 petang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!