Cunha harapan baharu Manchester United

KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United telah mencapai persetujuan dengan Wolverhampton Wanderers bagi mendapatkan khidmat penyerang Brazil, Matheus Cunha.
Pemain berusia 26 tahun itu dijangka menjadi pembelian pertama kelab tersebut pada jendela perpindahan musim panas ini selepas United mengaktifkan klausa pelepasan bernilai £62.5 juta dalam kontrak Cunha bersama Wolves.
Bekas pemain tengah menyerang Atletico Madrid itu bakal menandatangani kontrak selama lima tahun di Old Trafford dengan pilihan lanjutan selama 12 bulan.
Difahamkan, Cunha telah berada di Manchester sepanjang hujung minggu lalu bagi menjalani pemeriksaan perubatan bersama The Red Devils.
Bagaimanapun, perpindahan tersebut masih tertakluk kepada kelulusan visa serta proses pendaftaran dan dijangka dimuktamadkan selepas Cunha menamatkan tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Brazil penghujung bulan ini.
Penyerang itu telah meninggalkan Hotel Lowry di Salford pada pagi Ahad untuk menyertai pasukan kebangsaan bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Ecuador, yang dijadual berlangsung pada Jumaat.
Perlawanan itu juga merupakan penampilan sulung Carlo Ancelotti selaku ketua jurulatih Brazil.
Cunha menjaringkan 31 gol dalam 76 penampilan bersama Wolves selepas menyertai kelab tersebut secara tetap pada tahun 2023.
Sebelum itu, beliau menyertai Wolves menerusi pinjaman selama enam bulan daripada Atletico Madrid, yang menyaksikan prestasi cemerlangnya meyakinkan pihak kelab untuk melengkapkan perpindahan tetap dengan nilai £35 juta.
Pengendali Manchester United, Ruben Amorim, dilaporkan bertekad memperkukuh jentera serangan Red Devils selepas melalui kempen paling buruk dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, apabila hanya mampu menamatkan saingan di tangga ke-15 musim lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!