Keputusan permohonan Anwar rujuk lapan persoalan termasuk imuniti diketahui Rabu

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini untuk merujuk lapan persoalan undang-undang termasuk sama ada Perdana Menteri itu mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther ke Mahkamah Persekutuan, akan diputuskan pada Rabu.
Hakim, Roz Mawar Rozain, menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam, Alan Wong Teck Wei yang mewakili Anwar, 78, sementara peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali bagi pihak Yusoff, 32, pada prosiding yang dijalankan secara dalam kamar.
Pada masa sama, mahkamah akan menentukan sama ada persoalan undang-undang itu yang dikemukakan Perdana Menteri melepasi ambang yang mewajarkannya dirujuk ke peringkat tertinggi itu.
Dalam permohonan itu, Ahli Parlimen Tambun itu turut memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan saman bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa beliau menyerangnya secara seksual.
Perbicaraan itu dijadualkan bermula bulan ini iaitu pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 bulan sama.
Pada 23 Mei lalu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan, antaranya sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan Muhammed Yusoff.
Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad minggu lalu, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Beliau turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.
Anwar juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar haknya untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!