Bas ekspres bawa 12 penumpang terbabas, langgar besi pembahagi jalan

SUBANG JAYA - Seramai 12 penumpang berdepan detik cemas apabila bas ekspres yang dinaiki terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan di Kilometer 35.8 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian jam 9.30 malam itu, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam ke Pasir Gudang, Johor.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan sebuah kenderaan yang memotong secara berbahaya dari lorong kanan ke kiri.
“Tindakan itu menyebabkan pemandu bas hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Wan Azlan berkata, akibat kemalangan itu, seorang penumpang mengalami kecederaan ringan.
"Kita sedang berusaha mengesan kenderaan terbabit dan siasatan lanjut masih diteruskan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!