Uzbekistan, Jordan ukir sejarah, Korea Selatan kekal tradisi ke Piala Dunia

Uzbekistan ikat UAE untuk sahkan slot ke Piala Dunia 2026.
Uzbekistan ikat UAE untuk sahkan slot ke Piala Dunia 2026.
A
A
A

UZBEKISTAN dan Jordan melakar sejarah apabila mara buat kali pertama ke Piala Dunia, manakala Korea Selatan pula terus mengukuhkan kedudukan dalam temasya bola sepak terbesar dunia itu.

Ketiga-tiga negara ini kini menjadi pasukan kelapan, kesembilan, dan ke-10 yang mengesahkan tempat di edisi Piala Dunia 2026 yang diperluaskan kepada 48 pasukan, bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico.

Dengan tiga negara tuan rumah yang layak secara automatik, trio terbaharu ini menyertai Jepun, New Zealand, Iran, dan Argentina yang telah terlebih dahulu mengesahkan slot masing-masing.

Uzbekistan berjaya mengikat Emiriah Arab Bersatu 0-0, manakala Korea Selatan menewaskan Iraq 2-0 pada hari sama untuk mengesahkan tempat ke Piala Dunia kali ke-11 berturut-turut.

Keputusan perlawanan Korea Selatan itu secara tidak langsung turut mengesahkan kelayakan bersejarah Jordan selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Oman.

Uzbekistan, yang kini berada di ranking ke-57 dunia dengan populasi 36 juta penduduk, memainkan perlawanan pertama sebagai sebuah negara berdaulat pada Jun 1992 selepas meninggalkan Kesatuan Soviet, dan diterima oleh badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), dua tahun kemudian.

Pencapaian terhampir Uzbekistan sebelum ini untuk layak ke Piala Dunia adalah sewaktu kempen kontroversi pada 2006.

Ketika itu, mereka berada dalam perlawanan playoff dua pusingan menentang Bahrain untuk menentukan wakil Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi berdepan Trinidad dan Tobago dari Concacaf.

Artikel Berkaitan:

Pemenang perlawanan itu kemudiannya akan layak ke pusingan akhir di Jerman. Uzbekistan memenangi pusingan pertama 1-0, namun kesilapan pengadil menyebabkan FIFA mengarahkan perlawanan itu diulang, dan akhirnya mereka tewas menerusi peraturan gol tempat lawan.

Namun demikian, pasukan Uzbek telah berjaya layak ke setiap pusingan akhir Piala Asia sejak 1996 dan mara ke peringkat kalah mati dalam setiap penampilan sejak 2004, termasuk melangkah ke separuh akhir pada 2011 dan suku akhir pada tahun lalu.

Naib juara Piala Asia, Jordan, yang menduduki ranking ke-62 dunia, kini bersaing dalam pusingan kelayakan Piala Dunia kali ketujuh, sejak kali pertama pada 1986.

Pencapaian terhampir mereka untuk layak sebelum ini adalah apabila tewas dalam perlawanan playoff antara benua kepada Uruguay pada 2014.

INFO

Kelayakan Piala Dunia

ASIA

Kelayakan: empat pasukan – pemenang setiap kumpulan akan mara ke Piala Dunia dan dua naib juara terbaik akan beraksi di playoff antara benua.

EROPAH

Kelayakan: 16 tempat

Pasukan yang telah layak: Tiada

Terdapat 12 kumpulan – pemenang setiap kumpulan akan layak ke Piala Dunia dan 12 naib juara akan beraksi di playoff bersama empat pemenang kumpulan Liga Negara-Negara Eropah terbaik yang belum layak – untuk empat slot tambahan. Eropah merupakan satu-satunya benua yang tidak mempunyai wakil dalam playoff antara benua.

Pusingan kelayakan di Eropah baharu bermula pada Mac lalu, dengan beberapa pasukan belum lagi memainkan perlawanan kelayakan pertama mereka sehingga September sementara Liga Negara-Negara berterusan. Pusingan kumpulan akan berakhir pada November, manakala playoff akan berlangsung pada Mac 2026.

OCEANIA

Kelayakan: Satu tempat, ditambah satu ke playoff antara benua.

Pasukan yang telah layak: New Zealand

Pusingan kelayakan Oceania telah pun berakhir, dengan New Zealand menewaskan New Caledonia 3-0 di perlawanan akhir.

New Zealand layak secara automatik ke Piala Dunia, hasil daripada format Piala Dunia yang diperluaskan. Oceania kebiasaannya hanya memperoleh satu slot playoff. New Caledonia, sebuah wilayah luar negara Perancis, akan mengambil bahagian dalam playoff antara benua pada Mac 2026 – melibatkan pasukan dari Afrika, Asia, Amerika Selatan dan Amerika Utara – dengan dua daripada enam pasukan akan layak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!