IPR perlu menyeluruh terutama di pedalaman Sabah - Bung Moktar

Bung Moktar ketika melakukan tinjauan di Pasar Tawau.
Bung Moktar ketika melakukan tinjauan di Pasar Tawau.
A
A
A

TAWAU - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyatakan kebimbangannya berhubung pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilihat masih belum menyeluruh di Sabah.

Beliau berkata, walaupun program tersebut yang merupakan salah satu dasar utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah dirangka dengan baik, namun kawasan luar bandar, khususnya di pedalaman Sabah, paling memerlukan sokongan ekonomi yang bersasar.

“Kemiskinan tegar di Sabah berada pada kadar 1.2 peratus, iaitu enam kali ganda lebih tinggi berbanding purata nasional (0.2 peratus).

“Ini bukan sekadar statistik, tetapi bukti nyata jurang pembangunan yang masih ketara. Realitinya, ramai rakyat Sabah, terutamanya ibu tunggal, warga emas dan belia luar bandar, masih hidup dalam kekurangan.

“Bukan kerana mereka tidak mahu berusaha, tetapi kerana kurangnya akses kepada peluang dan bantuan,” katanya selepas melakukan tinjauan di Pasar Tawau pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu mencadangkan agar Kementerian Ekonomi menstruktur semula pelaksanaan IPR supaya lebih bersifat menyeluruh dan inklusif di Sabah.

“Pendekatan bersemuka atau outreach program perlu dijadikan strategi utama, melibatkan libat urus secara fizikal di balai raya, sekolah, rumah ibadat dan pusat komuniti, serta kerjasama erat dengan ketua kampung, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kerajaan perlu hadir kepada rakyat, bukan sebaliknya. Dasar pusat seperti IPR perlu diterjemahkan dengan memahami konteks sebenar rakyat di akar umbi dari segi geografi, budaya dan realiti ekonomi tempatan. Sabah mempunyai potensi luar biasa jika dasar dilaksanakan secara adil dan tersasar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat Sabah bukan sekadar negeri termiskin, tetapi sebagai rakan pembangunan strategik yang mampu menyumbang secara signifikan kepada masa depan negara.

“Saya percaya, dengan pelaksanaan IPR yang diperkasa, Sabah mampu keluar daripada kitaran kemiskinan dan menuju ke arah masa depan yang lebih sejahtera,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!