[VIDEO] Skandal rasuah: Hajiji minta hormati proses undang-undang

A
A
A

PUTATAN - [DIKEMAS KINI] Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahkamah untuk tindakan sewajarnya berhubung dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal didakwa pada bulan ini.

Beliau bagaimanapun berkata, dirinya tidak mengetahui identiti ADUN yang dimaksudkan oleh SPRM itu.

Hajiji ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Dewan Sri Putatan pada Rabu.
Hajiji ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Dewan Sri Putatan pada Rabu.

"Saya ambil maklum perkara itu, kita mesti menghormati proses undang-undang dan kita biarkan jabatan yang berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya dapat makluman mereka akan membuat pendakwaan kepada dua orang tapi saya tidak tahu siapa. Apa-apapun proses undang-undang itu mesti berjalan dengan sebaik mungkin.

"Biar mahkamah memutuskan sama ada mereka bersalah atau tidak. Ada ruang untuk mereka membersihkan nama masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Petagas dan Kampung Bukit Vor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Sri Putatan, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berhubung dua ADUN dan seorang orang awam yang akan didakwa di mahkamah pada bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hajiji menolak dakwaan bahawa pendakwaan melibatkan dua ADUN itu akan memberi kesan kepada kerajaan pimpinannya.

"Saya ingat tidak akan memberi kesan. Kerajaan negeri komited untuk memastikan bahawa kita menghormati bukan saja undang-undang tetapi mewujudkan integriti dalam kalangan anggota kerajaan dan penjawat awam," katanya.

Sebelum itu, Azam memaklumkan SPRM dalam proses tangkapan dan pemakluman kepada suspek untuk tarikh mereka hadir ke mahkamah.

Pendakwaan itu dipercayai susulan pendedahan skandal rasuah melibatkan beberapa ADUN Sabah pada tahun lalu berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!