Warga Pakistan tiada lesen selamba pandu Hilux bawa penumpang

SHAH ALAM - Seorang lelaki warga Pakistan yang memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux tanpa lesen memandu serta membawa tiga penumpang ditahan dalam sekatan jalan raya di Seksyen 13, di sini, pada Isnin.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, pemandu itu ditahan anggotanya menerusi Ops Hari Raya Aidiladha (Ops HRAA) 2025 kira-kira jam 10.45 pagi.
"Pemeriksaan terhadap pemandu warga Pakistan berusia 30 tahun itu mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu selain tidak memakai tali pinggang keledar.
"Turut didapati terdapat tiga penumpang lelaki warga Pakistan di dalam kenderaan terbabit," katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin.

Beliau berkata, kenderaan terbabit telah disita dan dibawa ke Pejabat JPJ Selangor di Shah Alam untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan serta memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.
"Sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkannya kepada [email protected] atau melalui platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!