NIOSH tawar audit, latihan kepada pengendali bas, tingkat keselamatan

SHAH ALAM - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia menawarkan kepakarannya kepada pengendali pengangkutan awam termasuk melalui latihan, audit keselamatan kenderaan, penilaian risiko dan program kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
NIOSH dalam kenyataan pada Isnin berkata, usaha tersebut selari dengan aspirasi Pelan Induk KKP 2021-2025 (OSHMP25) yang bertujuan mewujudkan persekitaran kerja lebih selamat dan sihat kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Kami menyeru semua pihak yang terlibat dalam sektor pengangkutan awam supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan penumpang serta pekerja.
“Usaha berterusan daripada semua pihak amat penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak, termasuk penumpang kenderaan sentiasa terjamin,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut dalam nahas yang membabitkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik–Jeli berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin.
Beliau berkata, bas itu membawa 42 pelajar terdiri daripada lapan lelaki dan 32 perempuan berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun yang berasal dari Pantai Timur.
Dalam pada itu, NIOSH merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas dan mendoakan agar mangsa yang cedera segera sembuh serta keluarga yang kehilangan insan tersayang diberi kekuatan menghadapi detik sukar ini.
“Sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yang bertanggungjawab dalam bidang KKP, kami amat prihatin terhadap keselamatan pelajar dan orang awam semasa menggunakan pengangkutan awam darat, termasuk perkhidmatan bas ekspres serta sewa khas bagi tujuan perjalanan pelajar.
“Pengurusan keselamatan dalam pengangkutan awam yang berfungsi sebagai entiti perniagaan turut tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022), di mana pengangkutan tersebut dikategorikan sebagai tempat kerja.
“Oleh itu, pihak pengurusan syarikat dan pemandu sebagai pekerja perlu melaksanakan langkah KKP bagi memastikan keselamatan bukan sahaja untuk pekerja tetapi juga penumpang,” ujarnya.
Susulan itu, pihaknya menyokong usaha pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah pencegahan supaya tragedi seperti itu tidak akan berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!