Jerman tekad kembali dalam peta kuasa bola sepak dunia

PENGENDALI Jerman, Julian Nagelsmann mengakui Die Mannschaft masih berusaha merapatkan jurang dengan pasukan terkemuka dunia selepas tewas 0-2 kepada Perancis dalam penentuan tempat ketiga Liga Negara-Negara.
Biarpun begitu, Nagelsmann menyatakan keyakinan bahawa pasukannya sedang membina sesuatu yang istimewa, setelah melihat peningkatan prestasi berbanding kekalahan 1-2 kepada Portugal pada peringkat separuh akhir sebelum ini..
“Jika kami beraksi seperti hari ini dan tidak mengambil langkah ke belakang menentang pasukan-pasukan dalam kelayakan Piala Dunia, maka diharapkan kami akan mara dan membuat persiapan yang baik.
“Sudah tentu, kami masih ketinggalan beberapa peratus di belakang tahap yang kami inginkan, dan di belakang pasukan-pasukan terkemuka dunia.
“Kami tidak boleh mengubah dunia dalam setahun atau dua tahun dan menebus segala yang mungkin tidak berjalan 100 peratus dengan betul selama beberapa tahun,” kata Nagelsmann selepas perlawanan..
Gol-gol daripada Kylian Mbappe dan Michael Olise di MHP Arena, Stuttgart, memastikan kemenangan buat Perancis dan meletakkan Les Bleus di tempat ketiga dalam saingan Liga Negara-Negara.
Jerman, yang kali terakhir menjuarai Piala Dunia pada 2014 dan tersingkir di peringkat kumpulan dalam dua edisi terakhir, berada dalam Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2026, akan memulakan kempen menentang Slovakia di Bratislava pada September.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!