Trump masuk perangkap Netanyahu?

WASHINGTON – Ketika mula menjawat jawatan Presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua, Donald Trump menyuarakan hasrat mahu membina hubungan baharu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang merupakan seorang pemimpin yang terkenal licik dalam mempengaruhi Rumah Putih.
Namun selepas lebih 150 hari memegang kuasa, Trump kini dilihat jatuh ke dalam perangkap yang sama seperti pendahulunya, apabila melancarkan serangan paling besar ke atas Iran dalam beberapa dekad.
Sebelum ini, pentadbiran Trump memberi isyarat bahawa mereka mahu mengawal nafsu ketenteraan Netanyahu, namun akhirnya beliau dikatakan terperangkap dalam agenda Israel, yang menyebabkan AS kini secara langsung menyasarkan tapak pengayaan uranium Iran, beberapa hari selepas siri serangan awal oleh Israel yang gagal dibendung Washington.
Kini, AS berdepan risiko tindak balas Iran yang boleh menyeret kuasa besar itu ke dalam perang berskala penuh di Asia Barat.
Beberapa hari sebelum Trump mengangkat sumpah jawatan, utusannya ke Asia Barat, Steve Witkoff, bergegas ke Israel – memaksa pertemuan dengan Netanyahu pada hari Shabbat, bagi mendesak satu perjanjian gencatan senjata dengan Hamas di Gaza.
Ketika itu, pegawai AS menyifatkan langkah tersebut sebagai “faktor Trump” – satu pendekatan luar jangka dan berani yang memberi harapan untuk mengawal tindak-tanduk agresif Netanyahu.
Namun pada Sabtu lalu, segalanya berubah – apabila pesawat pengebom B-2 milik AS menyerang Iran buat pertama kali sejak serangan udara Israel bermula minggu lalu.
Trump kini dilihat beralih daripada dasar pengasingan (isolationism) yang sering dilaungkan kempen “Make America Great Again (MAGA)” kepada pendekatan luar negara yang lebih agresif dan berhaluan kanan.
Ketika berkempen, Trump berikrar untuk tidak melibatkan AS dalam peperangan baharu. Namun kurang 200 hari selepas kembali ke Rumah Putih, beliau kini dilihat melanggar janjinya sendiri.
Bagi menangkis dakwaan hubungan dingin dengan Netanyahu, Trump tampil mengucapkan tahniah kepada pemimpin Israel itu.
“Saya ingin berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Netanyahu. Kami bekerjasama ibarat satu pasukan yang tiada tandingannya, dan kami telah melangkah jauh dalam menghapuskan ancaman dahsyat terhadap Israel,” kata Trump.
Pendirian Trump itu jelas bercanggah dengan kenyataan awal Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang sebelum ini menyifatkan serangan Israel ke atas Iran sebagai tindakan “sebelah pihak” dan menegaskan bahawa AS “tidak terlibat”.
Tetapi dalam tempoh seminggu, AS kini menyokong dan menyertai serangan Israel secara terbuka, sekali gus meningkatkan risiko konflik yang lebih luas.
Trump secara terbuka mendakwa bahawa serangan terhadap Fordow, Natanz dan Esfahan adalah tindakan “sekali sahaja”, dan AS tidak bercadang melanjutkan operasi jika Iran tidak bertindak balas.
Namun, Naib Presiden JD Vance sendiri memberi amaran bahawa serangan terhad ini boleh berkembang menjadi misi jangka panjang sekiranya Iran bertindak balas.
Trump masih cuba bermain di tengah – menyerang, tetapi menegaskan mahu mengelak perang. Namun, Netanyahu semakin berani, malah memuji tindakan Trump secara terbuka:
“Tahniah, Presiden Trump. Keputusan berani anda menyerang kemudahan nuklear Iran menggunakan kuasa agung dan adil Amerika Syarikat akan mengubah sejarah,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan video.
Daripada dianggap sebagai pemimpin yang mampu mengekang Netanyahu, kini Trump dilihat tunduk kepada tekanan Israel, dan berisiko menyeret AS ke dalam konflik yang jauh lebih luas di Asia Barat.
Dalam masa seminggu, retorik damai bertukar menjadi serangan ketenteraan, dan impian untuk menjadi “pendamai dunia” semakin pudar di sebalik asap perang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!