Rasuah kontrak ratusan ribu ringgit: Pengarah JKR negeri akan dituduh esok

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) sebuah negeri yang dipercayai terlibat kes rasuah membabitkan kontrak bernilai ratusan ribu ringgit akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pengarah dan beberapa pegawainya disyaki menerima wang rasuah daripada kontraktor berhubung dengan projek selenggaraan.
"Kes ini telah selesai dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas SPRM.
"Kita jangka esok (Khamis) akan tuduh pengarah tersebut di mahkamah di Jalan Duta (Kuala Lumpur) mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dengan lima pertuduhan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Rabu.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Tambah Ahmad Khusairi, akaun yang disita membabitkan kes tersebut ialah RM6.13 juta melibatkan 79 akaun individu dan 16 akaun syarikat.
"Rampasan aset turut dibuat termasuk kenderaan dan wang tunai," ujarnya.
Mei lalu, media melaporkan dua penjawat awam termasuk berjawatan pengarah dan bergelar Datuk antara enam ditahan SPRM susulan kes rasuah membabitkan kontrak bernilai ratusan ribu ringgit.
Lelaki bergelar Datuk itu bersama seorang lagi penjawat awam iaitu jurutera di sebuah jabatan kerajaan di ibu negara adalah suspek utama kes membabitkan tawaran kerja kontrak pembangunan dan senggaraan sejak 2021.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek utama menerima kira-kira RM115,000 daripada orang tengah dalam bentuk wang tunai, pembiayaan ubah suai rumah dan pemberian telefon bimbit.
Menerusi Op Kepala dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM di 10 premis sekitar Lembah Klang dan Johor semalam, SPRM menyita dua unit kenderaan jenis Toyota Hilux, wang tunai kira-kira RM165,000 selain membekukan 95 akaun perbankan terdiri akaun individu dan syarikat membabitkan jumlah kira-kira RM6 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!