Kekuatan Pas bukan sebab taasub, tetapi kefahaman - Sanusi bidas Mohd Puad

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menepis dakwaan bahawa kekuatan Pas berpunca daripada ketaasuban ahlinya, seperti yang didakwa oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau sebaliknya menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak berasas dan menasihatkan kepimpinan UMNO agar lebih menumpukan perhatian terhadap prestasi parti itu sendiri yang semakin merudum.
Menurutnya, kekuatan Pas bersandarkan kepada kefahaman ahlinya terhadap perjuangan parti, bukannya taasub membuta tuli.
“Saya nampak UMNO yang sedang merosot. Dahulu mereka ada 90 kerusi, sekarang tinggal 26 sahaja. Tak payah cakap pasal Pas. Tengok parti sendiri sedang merudum. Lebih baik beri perhatian kepada hal itu,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis ramah mesra Aidiladha Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di sini pada Selasa.
Pada Ahad, Mohd Puad mendakwa Pas hanya mampu mengekalkan kedudukan sebagai parti 'status quo' di kawasan majoriti Melayu atau 'Malay belt' disebabkan ketaasuban ahlinya terhadap kepimpinan parti itu.
Mohd Puad berkata, meskipun Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat memiliki wawasan peringkat dunia, beliau tetap tidak mempunyai daya tarikan terhadap pengundi bukan Melayu.
Malah katanya, kekuatan sebenar Pas terletak pada tahap ketaasuban pengikutnya yang tinggi, membolehkan parti itu terus berpengaruh dalam masyarakat Melayu.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan, ahli Pas dididik untuk memahami politik bagi mengukuhkan parti.
“Yang pertama sekali, ahli Pas dididik dengan kefahaman ‘Al-fahmu’, maksudnya faham, bukan taasub.
“Yang ini (kefahaman itu) tidak ada pada Mohd Puad. Dia tak faham kenapa kita sokong Pas, kenapa kita jadi ahli Pas. Kami sertai Pas dengan kefahaman,” katanya.
Tambah beliau, ramai yang menyertai politik tanpa memahami perjuangan sebenar, menyebabkan berlaku perselisihan dan akhirnya menarik diri daripada parti.
“Ramai orang masuk politik tak faham. Lepas tu gaduh dengan bos, letak jawatan. Tapi saya tak kata pada siapa-siapa,” katanya sambil tersenyum sinis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!