Hentikan air mata rakyat, bertindaklah segera

SUDAH menjadi satu kelaziman apabila berlaku insiden besar, akan ada pelbagai cadangan untuk menyelesaikan masalah yang timbul.
Tidak terkecuali apabila melibatkan kes-kes kemalangan maut yang penuh tragis menyebabkan angka kematian tinggi.
Seperti biasa respons klise daripada pihak berkuasa ialah komited, memberi amaran tegas dan tidak akan berkompromi.
Terbaharu ialah kes kemalangan maut yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris pada awal pagi 9 Isnin lalu.
Susulan kejadian itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beberapa langkah akan diambil termasuk melaksanakan penguatkuasaan dan pematuhan mandatori melibatkan kenderaan berat menerusi penggunaan alat pengehad kelajuan atau speed limiter.
Ironinya, langkah itu sudah pun diperkenalkan pada 2015 iaitu 10 tahun lalu bertujuan menangani kadar kemalangan maut yang tinggi, khususnya melibatkan kenderaan berat seperti bas dan lori.
Malangnya, peraturan itu tidak dikuatkuasakan sepenuhnya kerana didapati alat tersebut telah dibuka dan hanya akan dipasang kembali ketika pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Speed limiter ialah sejenis alat elektronik dipasang dalam kenderaan bagi mengehadkan kelajuan maksimum.
Antara kategori kenderaan yang diwajibkan memasang pengehad kelajuan termasuklah bas ekspres, bas sekolah, lori berat melebihi 7.5 tan dan kenderaan pengangkutan awam serta barang komersial tertentu.
Pelaksanaan peraturan itu dibuat berlandaskan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pemandu atau syarikat yang gagal mematuhi arahan pemasangan boleh dikenakan tindakan termasuk denda, penggantungan lesen dan dalam kes berat, pengharaman kenderaan daripada beroperasi.
Bagaimanapun difahamkan, terdapat penentangan daripada sebahagian pengusaha pengangkutan yang mempersoalkan kos pemasangan dan kebolehpercayaan teknologi itu.
Justeru, kita berharap agar kerajaan bertindak segera untuk mengatasi masalah melibatkan kenderaan berat.
Jika terbukti penggunaan speed limiter mampu selamatkan nyawa, maka lakukanlah demi kesejahteraan hidup rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!