Pelajar tikam ibu, abang: Isyarat serius krisis kesihatan mental remaja

KESIHATAN mental memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat dan menjadi antara faktor utama yang membentuk keperibadian serta tingkah laku seseorang.
Pada Khamis, satu kejadian tragis melibatkan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lelaki yang bertindak menikam ibu dan abangnya sehingga maut di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara, Melaka.
Ketua Polis, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, perbuatan suspek dipercayai berpunca daripada tekanan belajar dan sering dimarahi oleh keluarganya.
Menurut Dzulkhairi, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, suspek remaja berusia 17 tahun dipercayai masuk ke bilik ibunya yang juga merupakan seorang guru berstatus ibu tunggal, lalu menyerang mangsa sebelum menikam wanita berusia 51 tahun itu menggunakan pisau lipat.
Anak sulung mangsa yang berusia 21 tahun menyedari kekecohan tersebut dan cuba meleraikan, namun turut ditikam oleh suspek sehingga maut. Mayat kedua-dua beranak itu kemudian ditemui di ruang tamu rumah teres setingkat berkenaan.
Seorang lagi anak mangsa, iaitu anak bongsu lelaki berusia 13 tahun, turut mengalami kecederaan parah akibat ditikam suspek. Bagaimanapun, mangsa dilaporkan stabil dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.
Tragedi itu bukan sahaja meragut dua nyawa, malah turut meninggalkan parut emosi yang mendalam kepada keluarga terlibat dan masyarakat secara amnya.
Apabila sesuatu tekanan tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menjadi pencetus kepada masalah kesihatan mental yang serius.
Dalam kes remaja tersebut, tekanan belajar untuk menghadapi SPM yang bersifat kritikal, ditambah pula dengan kemungkinan sering dimarahi, mungkin telah mencetuskan beban emosi yang tidak tertanggung.
Individu yang gagal menjaga kesihatan mental dengan baik berpotensi mengalami pelbagai kesan negatif termasuk gangguan emosi dan psikologi, perubahan tingkah laku, sikap, hubungan sosial serta risiko mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Justeru, kerajaan bersama masyarakat perlu berganding bahu membina persekitaran yang menyokong kesihatan mental, di mana individu tidak takut untuk mendapatkan bantuan dan stigma terhadap penyakit mental dapat dihapuskan.
Langkah ini penting bagi mengelakkan tekanan mental menjadi pemicu kepada perubahan tingkah laku yang agresif.
Hanya dengan usaha kolektif tersebut, tragedi seperti kes berkenaan dapat dicegah daripada berulang, dan masyarakat yang lebih sihat serta sejahtera dapat dibentuk secara menyeluruh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!