Peluasan SST bantu teruskan sokongan untuk B40, M40

SHAH ALAM – Seramai 5.4 juta rakyat berpendapatan rendah dan sederhana dijangka menerima manfaat hasil peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula pada 1 Julai ini.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican berkata, dasar baharu itu berpotensi meningkatkan hasil negara untuk disalurkan semula kepada golongan rentan termasuk B40 dan M40.
Menurutnya, usaha tersebut dilaksanakan melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang jumlah penerimanya meningkat kepada 5.4 juta orang sejak April lalu berbanding 700,000 sebelum ini.
Tambahnya, bantuan antara RM50 hingga RM200 sebulan mengikut kategori membolehkan mereka membeli keperluan asas dengan menggunakan MyKad.
“Seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2025, antara keperluan meningkatkan hasil kerajaan adalah bagi menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.
“Peluasan SST ini didorong oleh tiga matlamat utama iaitu penambahbaikan perkhidmatan kepada rakyat, pengurusan fiskal bertanggungjawab dan penyediaan ruang fiskal bagi menghadapi ketidaktentuan global,” katanya pada Jumaat.
Sebelum ini, kerajaan mengambil pendekatan bersasar dalam pelaksanaan semakan Cukai Jualan (CJ) serta memperluas skop Cukai Perkhidmatan (CP) bagi memastikan orang ramai tidak terbeban dengan pelaksanaan cukai tersebut bermula 1 Julai ini.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semakan semula cukai berkenaan bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian.
Dalam pada itu, Johan Mahmood berkata, kerajaan turut mengambil langkah melindungi B40 dan M40 daripada kesan peluasan SST.
Katanya, Kementerian Kewangan memastikan pelaksanaan hanya melibatkan barangan dan perkhidmatan bukan keperluan asas, sekali gus memastikan perbelanjaan harian isi rumah B40 dan M40 tidak terjejas.
Jelasnya, pengurusan fiskal turut menjadi komponen utama dalam reformasi Ekonomi Madani dengan tumpuan kepada pengurangan defisit fiskal negara daripada 5.5 peratus pada tahun 2020 kepada sasaran 3.8 peratus pada tahun ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan lebih RM1 bilion bagi perjawatan tetap dan RM400 juta untuk membaik pulih klinik daif serta perbelanjaan tambahan untuk menaik taraf sekolah dan infrastruktur luar bandar.
“Kementerian fokus pada barangan keperluan harian. Ada juga elemen penilaian,” ujarnya.
Mengulas mengenai klasifikasi cukai, Johan Mahmood berkata, kerajaan membezakan antara barangan asas dan barangan pilihan.
“Barangan pilihan yang mempunyai alternatif akan dikenakan SST lima peratus, seperti peralatan elektrik dan makanan diproses seperti jem. Buah tempatan pula tidak dikenakan cukai jualan, tetapi buah import akan dikenakan SST lima peratus.
“Saya harap pengecualian ini akan menggalakkan pengguna membeli barangan keluaran tempatan.
“Dalam masa sama, bagi menangani kebimbangan berkaitan inflasi akibat aktiviti pencatutan, kerajaan semestinya akan meningkatkan pemantauan harga di kedai runcit dan pasar raya,” katanya.
Beliau menyifatkan peluasan SST sebagai sebahagian daripada pelan reformasi fiskal jangka panjang dan menyeluruh di bawah kerangka Ekonomi Madani.
Katanya lagi, langkah itu juga bertujuan memperkukuh struktur ekonomi negara dan menambah baik kesejahteraan rakyat.
Barangan asas seperti makanan tidak diproses; ayam, daging, sayur tempatan dan beras, makanan asas diproses seperti tepung, sardin, gula, roti, susu, minyak masak sawit dan ubat-ubatan serta buku akan terus dikecualikan daripada SST.

Turut kekal pada kadar sifar peratus SST ialah barangan asas seperti ikan tongkol dan ikan kembung, manakala barangan premium seperti buah import serta makanan laut mewah seperti salmon dan ‘king crab’ akan dikenakan SST sebanyak lima peratus.
Susulan itu juga, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau harga barang di pasaran bagi mencegah aktiviti pencatutan dengan meningkatkan penguatkuasaan dan menyediakan alternatif seperti program Jualan Rahmah dan Agro Madani.
Kerajaan turut menjelaskan bahawa pelarasan SST tersebut tidak akan melibatkan kenaikan kadar cukai, sebaliknya hanya meluaskan skopnya dengan mengenakan SST lima peratus ke atas barangan pilihan tertentu yang sebelum ini tidak dikenakan cukai.
Berbeza dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), SST kekal bersasar bagi meminimumkan beban terhadap golongan berpendapatan rendah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!