Remaja maut kereta terbabas ketika memotong

KOTA TINGGI – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan di Kilometer 12.5 Jalan Kulai-Kota Tinggi pada pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 9.30 pagi daripada orang awam.
Menurutnya, nahas membabitkan dua buah kereta iaitu Proton Iriz yang dipandu mangsa dan Proton Saga yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta Proton Iriz dari arah Kulai menghala ke Kota Tinggi manakala Proton Saga turut dipandu dari arah yang sama.
“Setibanya di lokasi kejadian, dipercayai Proton Iriz berada dalam keadaan memotong Proton Saga, namun hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik sebelum melanggar kenderaan tersebut.
“Akibat kejadian itu, pemandu Proton Iriz mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan siasatan lanjut.
Tambahnya, pemandu Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika disabit kesalahan.
“Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun. Justeru, orang ramai perlu sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan memandu dengan berhati-hati demi keselamatan bersama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!