Dua rakan sekerja maut, motosikal langgar MPV

TAMPIN - Dua lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan lampu isyarat Kampung Baru di sini, malam Rabu.
Kejadian kira-kira jam 9 malam itu membabitkan motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang oleh dua rakan sekerja berkenaan dan sebuah MPV jenis Mitsubishi Xpander.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika pemandu MPV dalam perjalanan dari Kuarters Hospital Tampin menuju ke Pekan Tampin.
“Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat berkenaan, kenderaan yang dipandu lelaki berusia 34 tahun itu telah meneruskan perjalanan selepas lampu bertukar hijau.
"Namun secara tiba-tiba, sebuah motosikal dari arah kanan telah melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, perlanggaran itu mengakibatkan penunggang lelaki berusia 32 tahun meninggal dunia di lokasi, manakala pembonceng lelaki warga Bangladesh berusia 20 tahun meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tampin.
Tambah beliau, pemandu MPV pula mengalami sakit di bahagian dada dan kini sedang menerima rawatan di hospital sama.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk proses bedah siasat yang dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi ini.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4412502 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Afiqah Aqwa Haslan di talian 013-9515011," katanya.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!