Pemergian Zaleha Hamid satu kehilangan besar dunia seni - DJ Dave

JOHOR BAHRU - Pemergian penyanyi era 80-an, Zaleha Hamid atau nama sebenarnya Siti Zaleha Abdul Hamid, 68, disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat dunia seni suara tanah air.
Penyanyi veteran, Datuk DJ Dave berkata, Allahyarhamah merupakan satu figura penting dalam industri muzik tanah air suatu masa dahulu, khususnya dalam genre dangdut.
“Ini memang satu kehilangan besar. Arwah seorang legenda dangdut yang banyak berjasa dalam dunia seni. Gaya nyanyiannya yang tersendiri memang dikenali ramai.
“Lagu-lagunya masih diminati sehingga kini, bukan sahaja di Malaysia, malah di Singapura juga masih ramai peminat,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, media melaporkan Zaleha, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada jam 8.30 malam Khamis akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Allahyarhamah meninggalkan suami, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 60, dan tiga orang anak iaitu Zalisham Samsudin, 48; Ungku Chik Zafierul Azman, 37, serta Ungku Nor Muhammad Danial, 28, selain enam cucu.

Tambah DJ Dave atau nama sebenarnya Datuk Irwan Shah Abdullah, beliau pernah berkongsi pentas bersama Allahyarham dan menyifatkannya sebagai seorang yang ramah serta mudah didekati.
“Arwah sangat peramah, mudah bergaul dan kelakar. Kami sering bergurau dan ketawa bersama.
“Lima tahun lalu, saya sempat menziarahinya ketika dia sakit akibat masalah tiroid. Ketika itu, lehernya membengkak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, Yayasan Artis Veteran (YKAT) menyalurkan bantuan kepada Zaleha termasuk pemberian pencen bulanan sebanyak RM500 sejak dua tahun lalu.
“Kami juga beberapa kali menghubungi keluarganya untuk bertanya khabar. Suami arwah juga kerap memaklumkan perkembangan kesihatan Allahyarham kepada kami.
“Kita doakan agar keluarga arwah terus tabah dan tenang menghadapi kehilangan ini. Arwah adalah antara artis yang pernah sama-sama memperjuangkan seni bersama saya. Kehilangannya amat dirasai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!