Polis buru tiga penyamun ganas

TELUK INTAN – Polis kini giat memburu tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang yang terlibat dalam kejadian samun berkumpulan di sebuah premis hiburan di Jalan Changkat Jong, di sini, sebagaimana yang tular dalam sebuah rakaman video sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada seorang pengawal keselamatan tempatan berusia 42 tahun pada jam 1.02 pagi, 15 Jun lalu.
Menurut beliau, hasil siasatan awal berjaya mengenal pasti seorang daripada suspek sebagai lelaki tempatan berusia 37 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek tersebut telah dimasukkan ke dalam senarai orang dikehendaki.
“Pasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan menemukan beberapa bahan bukti seperti kesan darah, dua cap jari dan serpihan kaca.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut diperoleh bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.
Tambah Bakri, dalam kejadian itu, kumpulan penjenayah bertindak ganas apabila menyerbu premis sambil menghayun parang ke arah orang awam.
Katanya, suspek turut memecahkan beberapa barangan dalam premis, mencederakan dua pelanggan serta merosakkan empat buah kenderaan milik pelanggan lain.
“Kumpulan terbabit turut melarikan sebuah telefon bimbit iPhone 14 Pro milik pekerja premis dan wang tunai sebanyak RM2,000 dari kaunter.
“Menurut pengadu, tiga lelaki bertopeng itu menaiki sebuah kereta jenis Honda yang telah ditanggalkan nombor pendaftarannya,” ujarnya.
Bakri memaklumkan, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan menggunakan senjata serta Seksyen 427 kanun sama kerana perbuatan khianat terhadap harta benda awam.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan semua suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.
Rakaman berdurasi satu minit 14 saat yang tular di media sosial itu memaparkan kelibat tiga lelaki bertopeng keluar dari sebuah kereta sambil memegang dan menghayun senjata dipercayai parang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!