Projek Terminal KB Sentral bernilai RM64 juta bermula Julai

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Pembinaan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) di Tunjong di sini yang tertangguh hampir dua tahun sebelum ini akan bermula bulan depan.
Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Kelantan, Saizol Ismail berkata, kerajaan Kelantan yang mengambil alih pengurusan projek itu sepenuhnya melantik syarikat China Harbour Engineering Company (CHEC) Construction sebagai kontraktor utama yang dibuat secara rasmi minggu lalu.
Menurut beliau, CHEC Construction juga ialau anak syarikat China Communications Construction Co Ltd juga ialah syarikat kontraktor sama yang terlibat dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.
“Surat pelantikan telah ditandatangani minggu lepas dan CHEC Construction bersetuju untuk melaksanakan projek ini.
“Mereka mempunyai keupayaan aset dan kepakaran teknikal seperti mana termasuk dalam projek ECRL,” katanya selepas lawatan ke tapak naik taraf sistem perparitan Kampung Angkat Madani di Kampung Kota pada Selasa.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Kelantan, Ir Nik Soh Yaacoub.
Menurut Saizol, pembinaan KB Sentral dijadual bermula pada Julai ini dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun, dengan fasa awal melibatkan kerja-kerja rawatan tanah yang memakan masa hampir setahun.
“Kerja awal agak mencabar kerana kawasan tapak rendah, tanah sawah dan memerlukan rawatan tanah mendalam sebelum binaan boleh dimulakan.
“Kami sasarkan terminal ini siap sepenuhnya menjelang 2028 atau sebelum Sukan Malaysia Kelantan,” katanya.
Untuk rekod, projek KB Sentral sebelum ini diuruskan oleh Perak Transit Berhad (PTB) yang dilantik sebagai pengurus projek serta syarikat konsesi perkhidmatan.
Bagaimanapun, berlaku beberapa isu kelewatan dan pertindihan fungsi pengurusan, termasuk ketidakselarasan antara pihak swasta dan agensi teknikal kerajaan negeri.
Saizol berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan menghentikan kerjasama dengan PTB dan melantik CHEC yang juga mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan pembinaan berimpak tinggi.
“Kita perlu bergerak ke depan dan masalah pengurusan dulu sudah selesai.
“Sekarang kita fokus pastikan projek ini berjalan lancar demi manfaat rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!