Tanah 9,723 meter persegi di ibu kota kini milik UMNO

KUALA LUMPUR – UMNO berjaya di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, supaya sebidang tanah berkeluasan 9,723meter persegi di ibu kota, dipindah milik kepada parti itu.
Hakim, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili parti itu memberitahu, anak guamnya selaku pemohon bersetuju untuk menyelesaikan kes menerusi penghakiman persetujuan dengan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (responden).
“Mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan pihak-pihak dan perletakan hak tanah tersebut dalam tempoh 30 hari," kata hakim itu.
Selain Mohd Hafarizam, UMNO turut diwakili seorang lagi peguam, Norhazira Abu Haiyan.
Difahamkan tanah berkenaan menempatkan sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Sebelum ini, parti tertua negara itu memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya tanah itu dipindah milik kepada parti politik berkenaan.
Saman itu difailkan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan selaku plaintif menerusi firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini, pada 6 Mac lepas.
Mereka menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan.
Dalam saman itu, UMNO memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama pemegang-pemegang Amanah, dipindahkan kepada UMNO mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.
Mereka ialah Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid.
Selain itu, UMNO memohon Pendaftar Hakmilik Wilayah Persekutuan atau Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan melaksanakan perintah tersebut dengan membuat memorial di dalam dokumen hak milik.
Berdasarkan afidavit sokongan, Mohd Sumali berkata, berdasarkan Borang Jadual 17, permohonan kebenaran untuk pindah milik tanah bertarikh 27 Oktober 2015 bagi hartanah itu yang disertakan dengan Surat Akuan bertarikh 22 Oktober tahun sama, disahkan serta ditandatangani oleh empat pemimpin terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!