Qatar meterai gencatan senjata redakan ketegangan di Asia Barat - PM

Anwar berhubung dengan Emir Qatar petang tadi. Foto FB Anwar Ibrahim
Anwar berhubung dengan Emir Qatar petang tadi. Foto FB Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR – Langkah Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) berjaya meredakan ketegangan di Asia Barat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu langkah penting yang telah mengelakkan pertembungan dan konflik lebih besar di rantau itu.

“Saya turut berhubung dengan Emir Qatar, Yang Amat Mulia Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani petang tadi. Saya merakamkan penghargaan atas peranan penting beliau dalam memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dan AS.

“Ini adalah satu langkah penting yang berjaya meredakan ketegangan serta mengelakkan pertembungan dan konflik yang lebih besar di rantau Asia Barat,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Anwar, Sheikh Tamim memaklumkan bahawa meskipun Qatar berada dalam kedudukan sukar tatkala turut terheret dalam konflik tersebut, beliau tetap memilih untuk melihat gambaran yang lebih besar demi keamanan serantau.

“Saya menghargai ketegasan dan keikhlasan beliau dalam mendukung usaha perdamaian ini, termasuk peranan berterusan Qatar dalam rundingan gencatan senjata antara Palestin dan Israel,” katanya.

Anwar berkata, Sheikh Tamim turut memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Presiden AS, Donald Trump dan membincangkan usaha damai tersebut.

“Beliau menggunakan kesempatan itu untuk menggesa AS menumpukan usaha ke arah menghentikan genosid di Gaza serta mewujudkan perdamaian yang adil dan berkekalan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus menyokong segala ikhtiar ke arah penyelesaian damai yang berteraskan prinsip keadilan dan kedaulatan.

“Rundingan yang jujur serta menghormati hak setiap negara adalah syarat mutlak ke arah membina keamanan yang berpanjangan di rantau ini dan seluruh dunia,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!