Gencatan senjata hanya 'wayang' AS, beri ruang Israel rancang serangan lebih hebat ke atas Iran

Imej satelit dikeluarkan Maxar Technologies menunjukkan impak serangan AS ke atas kemudahan pengayaan uranium Isfahan di tengah Iran.
Imej satelit dikeluarkan Maxar Technologies menunjukkan impak serangan AS ke atas kemudahan pengayaan uranium Isfahan di tengah Iran.
A
A
A

TATKALA dunia menghela nafas lega mendengar pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa satu gencatan senjata telah dipersetujui antara Iran dan Israel bakal bermula hari ini, namun kenyataan balas Teheran mendedahkan satu kebenaran memeranjatkan iaitu tiada sebarang perjanjian damai dimeterai.

Ini berikutan kenyataan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi tegas menafikan wujudnya sebarang rundingan atau persetujuan rasmi dengan Israel.

Bagi Iran, gencatan hanya akan berlaku jika Israel menghentikan serangan bukan hasil diplomasi tiga penjuru yang kononnya dirunding AS.

Justeru, persoalan besar yang harus dipersoalkan adakah pengumuman Trump ini sebenarnya satu 'wayang politik' ciptaan Washington untuk membuka ruang strategik kepada Israel melancarkan serangan yang lebih tersusun ke atas Iran?

Sejarah tidak pernah menipu bahawa AS dan Israel berkongsi kepentingan geo-strategik yang mendalam di negara Timur Tengah.

Malah, setiap kali ketegangan memuncak, AS cenderung memainkan peranan sebagai 'pengadil' atau 'hero' kononnya damai namun dalam diam memudahkan pergerakan taktikal sekutunya, Israel.

Pengisytiharan 'gencatan senjata' ini boleh dibaca sebagai satu bentuk psychological operation (psyops) untuk menenangkan perhatian antarabangsa dan menampakkan AS sebagai pendamai, dalam masa sama memberi laluan kepada Israel menyusun semula posisi, memperkemas pertahanan udara, serta mengenal pasti sasaran balas.

Artikel Berkaitan:

Sejarah tidak pernah menipu bahawa AS dan Israel berkongsi kepentingan geo-strategik yang mendalam di negara Timur Tengah. Foto Agensi
Sejarah tidak pernah menipu bahawa AS dan Israel berkongsi kepentingan geo-strategik yang mendalam di negara Timur Tengah. Foto Agensi

Lebih mencurigakan kenyataan Trump dikeluarkan tanpa sebarang bukti perjanjian bertulis atau pengesahan dua hala atau kelulusan Kongres AS.

Ia sekadar pengumuman sehala dari Rumah Putih tidak disahkan oleh Israel, apatah lagi Iran sekali gus menandakan ia lebih bersifat propaganda geopolitik, bukan hasil diplomasi sebenar.

Apa yang berlaku kini menyerlahkan corak klasik geopolitik AS-Israel untuk mencipta naratif damai untuk melindungi perancangan perang.

Jika Iran bertindak balas selepas ini, maka ia akan dituduh melanggar gencatan senjata walhal tiada perjanjian pun dibuat.

Dalam kerangka lebih luas, ini satu taktik yang membolehkan Israel meraih legitimasi moral untuk melancarkan serangan besar-besaran kononnya atas alasan mempertahankan diri selepas Iran tidak menghormati perjanjian damai.

Dunia tidak boleh mudah terpedaya dengan sandiwara diplomatik ini. Gencatan senjata sebenar memerlukan rundingan, persefahaman bersama dan pengesahan rasmi bukan sekadar kenyataan sepihak seorang Presiden AS yang terkenal dengan permainan persepsi.

Apa yang lebih diperlukan kini ialah pemantauan antarabangsa yang telus, tekanan PBB dan suara lantang dunia Islam agar tidak terus membiarkan bumi Timur Tengah menjadi pentas eksperimen ketenteraan dua sekutu lama AS dan Israel.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!