'Kami dah habis ikhtiar cari Erma Fatima'

KUALA TERENGGANU – Hampir sembilan bulan berlalu namun masih belum ada sebarang petunjuk baharu mengenai kehilangan Erma Fatima Shamsul Bahari.
Ibunya, Roslina Mat Yousop, 41 berkata, kejadian berlaku pada 25 Oktober tahun lalu di sebuah restoran di Batu Buruk apabila gadis berusia 18 tahun itu ingin ke tandas.
Bagaimanapun katanya, anaknya itu tidak kembali semula ke meja makan mereka.
"Sampai ke hari ini kami sekeluarga tidak tahu ke mana dia menghilang. Tiada sebarang perkembangan diterima. Entahkan masih hidup atau sudah tiada.
"Kami juga dah habis ikhtiar, dah buat laporan polis, sebar risalah, minta bantuan kesan melalui media sosial dan buat sebaran berita. Namun setakat ini segala usaha menemui jalan buntu," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Erma yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori lembam.
Remaja itu juga dikenali sebagai seorang yang agak pendiam, kurang berkawan serta tidak keluar bersendirian tanpa ditemani keluarga.
Sementara itu, bapanya, Shamsul Bahari Abu Bakar, 47, berkata, sejak kehilangan anaknya itu, isterinya mengalami tekanan emosi, tidak tenang dan hilang selera makan.
"Sejak Erma Fatima hilang, ibunya tidak selera untuk makan. Setiap malam tak lena tidur dan sering berjaga tengah malam kerana terlalu rindukannya. Lama dia hilang kali ini, bukan sembilan hari tapi dah masuk sembilan bulan.
"Sebelum ni dia pernah hilang dalam seminggu, tapi balik semula. Kali ini lama sangat dia hilang. Kami sekeluarga telah cuba macam-macam usaha untuk menjejaki, namun segalanya masih lagi menemui jalan buntu.
"Hebahan berita dan banyak lagi yang kami buat termasuk berjumpa ustaz, buat solat hajat dan sebagainya namun tiada sebarang petunjuk di mana dia berada," luahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, setakat ini pihak polis masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai keberadaan Erma Fatima.
Bagaimanapun, katanya, kes itu masih lagi disiasat di bawah Orang Hilang (OH) dan pihak polis meminta kerjasama semua pihak untuk membantu menyalurkan sebarang maklumat mengenai kehilangan remaja ini di balai polis terdekat.
Erma yang memiliki ketinggian 155 sentimeter dan berat kira-kira 50 kilogram, kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang hitam, seluar hitam, tudung hitam dan selipar pada 25 Oktober tahun lalu.
Remaja itu juga memiliki ciri fizikal berkulit kuning langsat, berambut panjang hitam, mempunyai hidung agak besar serta bibir yang nipis.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pernah melihat individu dengan ciri-ciri tersebut, terutama di kawasan sekitar Kuala Terengganu atau di mana-mana lokasi, diminta segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu membawa pulang Erma ke pangkuan keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!