MOT arah Prasarana pasang pintu platform penumpang di stesen LRT

Iklan
Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada sidang media pada Rabu. Foto Bernama
PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melaksanakan pemasangan pintu platform penumpang di semua stesen Transit Aliran Ringan (LRT) sebagai usaha meningkatkan keselamatan penumpang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau telah meminta pengurusan Prasarana untuk melaksanakan perkara berkenaan kerana terdapat LRT dengan model lama masih tidak melaksanakan pemasangan pintu platform itu.

"Dari segi langkah keselamatan, memang saya dah minta Prasarana merancang untuk memasang pintu platform penumpang di semua stesen LRT.

"Untuk stesen Mass Rapid Transit (MRT) baharu, memang ada pintu platform iaitu ada satu pintu sebelum tren sampai. Monorel telah kita siapkan cuma untuk LRT Ampang dan ada stesen dengan reka bentuk lama, yang belum ada pemasangan pintu di platform,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden kematian seorang lelaki warga Taiwan dipercayai terjatuh ke landasan LRT di Stesen Pusat Bandar Puchong, Selangor semalam.

Anthony Loke berkata, beliau telah menerima laporan mengenai insiden itu dan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan.

"Kita tahu bahawa itu memang satu kemalangan tetapi kita biarkan pihak polis membuat siasatan dan kamera litar tertutup (CCTV) akan diserahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan terperinci,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Prasarana akan melaksanakan tindakan susulan dengan Wisma Putra untuk berhubung dengan keluarga mangsa mengenai insiden berkenaan.

Semalam, seorang lelaki warga Taiwan maut selepas dipercayai terjatuh ke landasan LRT di Stesen Pusat Bandar Puchong. - Bernama

OSZAR »